Pilu dua isteri Zabidi

Manjung: “Luluh hati saya apabila terpandang kasut (arwah) suami ketika bomba mengeluarkan dia daripada dalam kereta,” kata Norazalinawati Yunus, 41, isteri pertama Zabidi Muhi, 40, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 33 Sitiawan-Teluk Intan dekat Sitiawan di sini, hari ini.

Kemalangan itu turut mengorbankan Mohd Raimi Rustam Mohamad Rozi, 34.

Menurut Norazalinawati, arwah suaminya pulang ke rumah malam tadi dan sempat membaiki lampu di bilik tidur sebelum keluar semula.

“Ketika itu kami sempat bersembang tetapi dia tidak menunjukkan sebarang perubahan, sebaliknya berkata mahu keluar sekejap sebelum pulang semula pada 6 pagi untuk mengambil kunci kereta.

“Kami berjumpa di luar rumah sahaja dan itulah kali terakhir saya melihat dia sebelum dimaklumkan kemalangan ini oleh biras,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Seri Manjung (HSM), Manjung, hari ini.

Arwah Zabidi turut meninggalkan seorang lagi isteri, Norjeiha Abidin, 37, yang masih dalam pantang dan lima anak berusia antara 17 hari hingga 10 tahun.

Norazalinawati berkata, dia sempat ke lokasi kemalangan itu dan sedih apabila melihat anggota bomba mengeluarkan mayat suaminya.

“Suami bekerja di sebuah kilang di Changkat Jong, Teluk Intan dan jika diikutkan, dia masih bercuti kerana madu bersalin,” katanya.

Sementara itu, Norjeiha berkata, sebelum ini arwah Zabidi ada memberitahu dia mahu ‘pergi’ ketika mereka bersembang awal pagi semalam, yang menimbulkan kegusaran hatinya.

Bagaimanapun, wanita itu reda dengan pemergian suaminya.

“Arwah sangat teruja dengan kelahiran bayi lelaki ini dan cakap anak seperti muka dia serta beriya-iya mahu menamakan Umar Rizky,” katanya.

Arwah Zabidi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kayan, Sitiawan.

Berita berkaitan

• 2 maut kemalangan