Pinjam RM106k hanya dapat RM48k

Kuala Lumpur: Ceti haram atau along dikesan menukar pakej pinjaman kepada caj faedah lebih tinggi berbanding sebelum penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

Pengerusi Pertubuhan Gerakan Tranformasi Pengguna Malaysia (GTPM) Azman Kang Abdullah berkata, antara tawaran terbaru itu termasuk baki dapat di tangan tidak sampai separuh daripada jumlah sebenar pinjaman.

Menurutnya, sebagai contoh dalam satu kes dikendalikannya pada minggu lalu, seorang peminjam hanya mendapat RM48,000 daripada keseluruhan pinjaman berjumlah RM106,000.

Katanya, jumlah itu dianggap tidak munasabah sama sekali kerana ia terlalu kecil berbanding tanggungan yang perlu dibayar.

“Ini adalah taktik terbaru along. Peminjam yang terdesak sama ada untuk membiayai perniagaan yang terjejas atau menampung perbelanjaan keluarga terpaksa bersetuju.

“Jika tidak, mereka langsung tidak ada pendapatan atau perolehan.

“Secara asasnya, bagi setiap pinjaman RM10,000, peminjam hanya akan dapat tidak sampai RM4,800 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini.

Azman berkata, keadaan itu menjadikan badan bukan kerajaan (NGO) sepertinya agak sukar untuk membuat penjadualan semula pinjaman akibat jumlah yang terlalu tinggi.

Katanya, pendekatan penjadualan semula seperti dilakukan sebelum ini tidak lagi mampu menjadi penyelesai masalah kerana ia hanya akan membebankan peminjam.

“Keadaan ini akan menjadikan along ‘naik kepala’ kerana formula penjadualan semula tidak lagi boleh digunakan.

“Kecuali jika peminjam mempunyai wang yang banyak, cukup untuk mematikan bunga, tetapi setakat ini (peminjam) yang mampu buat begitu boleh dikira berapa orang saja,” katanya.

Justeru, beliau meminta kerajaan tampil dengan inisiatif khas bagi membantu orang ramai mendapatkan pinjaman mudah pada kadar yang tidak membebankan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19