PKP 3: Reman, bawa ke mahkamah [METROTV]

TINDAKAN tegas dan keras akan diambil termasuk direman dan dihadapkan ke mahkamah sekiranya didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga bermula esok.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu diambil susulan sikap segelintir rakyat yang kini dilihat tidak mengendahkan arahan kerajaan untuk berada di rumah.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan individu yang didapati melanggar arahan PKP fasa tiga dan diberi kuasa untuk menahan seterusnya dihadapkan ke mahkamah.

“Kita lihat rakyat seolah-olah tidak takut dengan denda RM1,000 yang dikenakan kepada mereka yang ingkar dan menganggap denda itu sama seperi mereka disaman atas kesalahan lalu lintas.

“Jadi kerajaan bersetuju mulai esok tumpuan tidak akan diberikan kepada kompaun kerana sesiapa yang ditahan akan direman dan dihadapkan ke mahkamah.

“Biar mahkamah dan hakim yang menentukan hukuman yang boleh dikenakan tidak melebihi dua tahun penjara untuk kesalahan pertama dan lima tahun untuk kesalahan seterusnya,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, polis menahan 1,374 individu kerana ingkar PKP yang merangkumi 931 individu dikenakan kompaun RM1,000 manakala seramai 418 individu direman dan 25 individu dijamin polis.

“Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga semalam seramai 9,090 individu dan jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan 4,036.

“Daripada jumlah itu juga seramai 427 individu sudah dituduh di mahkamah atas kesalahan mengingkari PKP,” katanya.

Tambahnya, polis juga diberi kuasa budi bicara untuk menentukan keperluan seseorang itu perlu dibawa ke mahkamah atau sebaliknya.

Beliau berkata, sehingga kini tahap pematuhan PKP juga tidak mencapai sasaran yang ditetapkan kerajaan dan berharap rakyat menerima ketegasan yang akan dilaksanakan dalam fasa tiga ini bagi memastikan Covid-19 dapat dikawal sepenuhnya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan