‘PKP anjakan kaedah pendidikan maya’

TELEFON pintar dilihat antara alat bantuan pembelajaran sepanjang Covid-19.

Namun, ramai murid dan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) tidak mampu memilikinya kerana kesusahan keluarga.

Bagaimanapun, sebuah yayasan berhasrat memberi kemudahan itu secara percuma termasuk dilengkapi kad prabayar dan pelan data 120GB untuk setahun kepada golongan berkenaan bagi tujuan pembelajaran.

Ikuti wawancara Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan, Pentadbiran dan Dasar Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya Prof Madya Dr Zuraidah Abdullah  bersama wartawan Nor ‘Asyikin Mat Hayin berkaitan isu ini.

DR Zuraidah.
DR Zuraidah.

Pandangan Prof berkaitan inisiatif ini.

Sumbangan ini positif dan ia  langkah proaktif dalam membantu murid serta pelajar kurang berkemampuan untuk meneruskan pembelajaran di rumah.

Pandemik yang melanda menyebabkan institusi pendidikan ditutup namun pembelajaran tetap diteruskan di rumah.

Pada pendapat saya, sumbangan kepada murid dan pelajar B40 ini perlu dipercepatkan.

Seharusnya, pada akhir minggu pertama atau kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, ada organisasi seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau yayasan mengambil tindakan serta merta bagi memastikan murid dan pelajar dapat meneruskan pembelajaran di rumah.

Majoriti murid dan pelajar di bandar tidak berdepan masalah menggunakan telefon pintar sebagai alat bantuan pembelajaran. 

Tetapi, peluang ini tidak dinikmati murid dan pelajar B40 terutamanya di pinggir bandar, luar bandar dan pedalaman, kerana faktor ekonomi keluarga.

Bukan itu saja, hasil kajian temu bual kami mendapati ibu bapa golongan B40 ini tidak mengetahui cara mengendalikan pembelajaran anak-anak di rumah sepanjang PKP. 

Telefon pintar alat pembelajaran, tetapi paling penting, selepas menerima peranti ini, adakah murid dan pelajar boleh mengakses Internet di rumah mereka?

 

Adakah kemungkinan murid dan pelajar bersikap hangat-hangat tahi ayam untuk belajar selepas diberikan telefon pintar?

Saya sentiasa melihat pemberian sumbangan dalam membantu golongan B40 sebagai insentif yang boleh mengubah kehidupan mereka kepada yang lebih baik.

Saya tidak merasakan senario ini (hangat-hangat tahi ayam) terjadi kerana sebenarnya, ia lebih menjurus kepada stigma masyarakat.

Stigma seperti ini boleh membantutkan niat baik banyak pihak untuk tampil memberi sumbangan bagi membantu golongan murid dan pelajar B40 untuk berjaya dalam pembelajaran.

Paling penting ketika ini ialah ia bukan hanya tertumpu untuk mendidik anak-anak, malah ibu bapa juga perlu menguasai aplikasi pada telefon pintar. 

Bagaimana mahu memastikan murid dan pelajar yang layak tidak tercicir disenaraikan sebagai penerima?

Ini tugas yang mencabar. Kita perlukan data terkini bagi memastikan mereka yang berkelayakan tidak tercicir.

Selain itu, ia perlu dilaksana secara berperingkat.

Justeru, permuafakatan antara ibu bapa dengan pihak sekolah memainkan peranan penting bagi memastikan golongan berkelayakan terpilih menjadi penerima.

Namun  golongan berpendapatan sederhana (M40) juga layak menjadi penerima kerana mempunyai bilangan anak yang ramai dan isteri tidak bekerja.

Sudah tentunya keluarga ini (M40) tidak dapat menyediakan telefon pintar untuk semua anak mereka.

Mereka berkongsi menggunakan telefon pintar dan ini sedikit sebanyak mengganggu proses pembelajaran dalam talian. 

 

Adakah rakyat  Malaysia sudah bersedia menggunakan kaedah pembelajaran maya?

Buat masa ini, saya boleh katakan bahawa sebahagian besar murid, pelajar, guru dan ibu bapa belum bersedia sepenuhnya.  

Kaedah pembelajaran maya ini ketika ini hanya berada pada tahap sederhana memuaskan. 

Ini disebabkan keadaan semasa terutamanya dari segi kemudahan prasarana (komputer, komputer riba, tab dan telefon pintar) serta capaian Internet.

Walaupun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah melatih guru-guru dengan pelbagai kaedah pembelajaran dalam talian, tetapi kaedah ini hanya sebagai alat atau bahan bantu mengajar guru.

Selama ini guru diberi pilihan untuk mengaplikasikan kaedah pembelajaran maya.

Ditambah pula, sebelum ini kita tidak memberikan tumpuan serius terhadap kaedah pembelajaran maya.

Pada masa ini, kreativiti guru diperlukan untuk memastikan pembelajaran dalam talian dilaksanakan dengan lebih berkesan sepanjang PKP.

Ia kini menjadi medium utama pembelajaran murid dan pelajar.

Guru perlu mempunyai perancangan yang teliti termasuk berkongsi bersama rakan sejawat lain dalam menyediakan modul dan penjadualan pembelajaran sebelum melaksanakan pembelajaran dalam talian.

Melalui perkongsian ini, guru dapat meningkatkan kemahiran pedagogi, teknologi maklumat dan yang paling penting penilaian dalam talian.

Situasi ini memberi satu fenomena baru dalam pembelajaran murid dan pelajar iaitu pembelajaran mereka tidak mengikut masa sebenar di sekolah. 

Ia lebih fleksibel, bukan hanya menggunakan Google Classroom, malah boleh mengaplikasikan pelbagai aplikasi seperti Google Meet, Microsoft Team, Zoom, Telegram dan WhatsApp.

Saya percaya, penularan Covid-19 ketika ini sehingga memaksa kerajaan melaksanakan PKP menjadi titik tolak kepada perubahan yang besar dalam sistem pendidikan Malaysia.

Oleh itu, ibu bapa dan guru perlu melakukan anjakan paradigma untuk menguasai ilmu pengetahuan teknologi maklumat terkini bagi menangani masalah ini.

Telefon pintar hanya peralatan bantuan pembelajaran bagi memastikan anak-anak dapat meneruskan pembelajaran mereka semasa di rumah.

Persoalan yang timbul ialah, adakah pihak sekolah bersedia meneruskan kaedah pembelajaran maya dan bagaimana mahu menilai pembelajaran murid dan pelajar dengan lebih efektif.

 

Adakah penerima perlu ada kriteria tertentu bagi mengelakkan sumbangan disalah gunakan?

Sebenarnya tidak perlu ada kriteria tertentu. Semua murid dan pelajar yang sudah dikategorikan B40 layak untuk menerimanya.

Pemilikan telefon pintar ini boleh menjadi pencetus semangat kepada murid dan pelajar  untuk belajar dengan  lebih bersungguh-sungguh.

Apa yang saya boleh katakan ialah sumbangan telefon pintar dapat meningkatkan motivasi mereka belajar tetapi dengan syarat capaian Internet dipertingkatkan di semua kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.

Jika capaian Internet tidak ditambah baik, sukar bagi mereka menggunakan telefon pintar berkenaan.

Dari segi kualiti, bagaimana memastikan telefon pintar disumbang berkualiti?

Sememangnya sumbangan ini adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak berkaitan.

Namun, penyumbang perlu memastikan telefon pintar itu berkualiti dan terkini. 

Kita mahu murid dan pelajar dapat menggunakan peranti disumbang ini secara optimum dan bagi tempoh panjang.

Pada masa sama, perlu ada petugas bagi tujuan pemantauan dan kerja baik pulih peranti yang rosak.

Golongan B40 tidak mempunyai banyak dana dan sudah tentu terbeban untuk membuat bayaran membaik pulih telefon pintar yang kosnya mungkin tinggi.

Ini mungkin menyebabkan mereka mengambil jalan mudah untuk tidak membaikinya dan akhirnya ia menjejaskan proses pembelajaran anak-anak.

Sebagai rakyat Malaysia, kita tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada kerajaan, tetapi perlu memikirkan, apakah sumbangan yang boleh diberikan kepada negara terutamanya dalam situasi genting ketika ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan