PKP di seluruh Kelantan, Sibu [METROTV]

Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Kelantan dan juga Sibu, Sarawak bermula 16 Januari berikutan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di kawasan itu.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan berlaku peningkatan kes secara mendadak membabitkan kluster dalam komuniti di seluruh Kelantan.

“Hampir 90 peratus daerah di negeri itu berada dalam zon merah dan kuning.

“Tujuh daerah diisytiharkan zon merah iaitu Kota Bharu, Bachok, Tumpat, Gua Musang, Machang, Kuala Krai dan Tanah Merah manakala dua daerah zon kuning adalah Pasir Puteh dan Pasir Merah serta satu zon jingga iaitu Jeli.

“Sehingga 14 Januari lalu, sebanyak 1,649 kes positif direkodkan di Kelantan manakala purata kes harian meningkat antara 80 hingga 100 kes sehari sejak 10 Januari lalu.

“Selain itu, kes aktif turut meningkat mendadak dalam tempoh 14 hari daripada 328 kes kepada 891 kes,” katanya dalam sidang media harian PKP hari ini.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO BERNAMA
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO BERNAMA

Ismail Sabri berkata, atas nasihat dan penilaian risiko KKM, sidang khas bersetuju melaksanakan PKP di seluruh Kelantan bermula 16 hingga 26 Januari.

“Prosedur operasi standard (SOP) sama di enam negeri diumumkan PKP sebelum ini iaitu tidak dibenarkan keluar daripada kediaman kecuali dua anggota isi rumah hanya untuk mendapatkan barangan keperluan asas,” katanya.

Mengenai PKP di Sibu, Ismail Sabri berkata, sejak 30 Disember lalu hingga 13 Januari, KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes mendadak dalam tempoh 14 hari iaitu daripada dua kes kepada 251 kes.

“Kebanyakan kes daripada Kluster Pasai yang merekodkan 394 kes daripada jumlah keseluruhan

“Kluster ini membabitkan 18 rumah panjang yang bertaburan di seluruh Sibu.

“Atas penilaian KKM, sidang khas bersetuju melaksanakan PKP di Bahagian Sibu selama 14 hari bermula 16 Januari hingga 29 Januari,” katanya. .

Menurutnya, PKP ini membabitkan tiga daerah di Bahagian Sibu iaitu Daerah Sibu, Selangau dan Kanowit,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19