PKP dilanjutkan di 7 negeri [METROTV]

Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di tujuh negeri yang dijadual tamat pada Selasa depan kepada 4 Februari 2021.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, negeri berkenaan adalah Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Sabah, Melaka, Wilayah Persekutuan (Labuan, Putrajaya, Kuala Lumpur) dan Johor.

“Berdasarkan penilaian risiko Kementerian Kesihatan (KKM) masih berlaku peningkatan mendadak kes Covid-19 di tujuh negeri yang dikenakan PKP lebih awal sebelum ini.

“Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju melanjutkan PKP di tujuh negeri ini yang kita seragamkan penamatannya dengan negeri lain,” katanya dalam sidang media PKP hari ini.

Katanya, di Pulau Pinang sehingga semalam secara kumulatif sebanyak 6,540 kes positif Covid-19 direkodkan di negeri ini dengan 2,310 kes dicatatkan bagi tempoh 14 hari 7 sehingga 20 Januari lalu.

“Semua daerah kini berada dalam zon merah dengan dua daerah merekodkan kes tertinggi iaitu Barat Daya (915 kes) dan Timur Laut (598 kes).

“Selain itu, di Selangor pula secara kumulatif sebanyak 50,636 kes positif Covid-19 direkodkan di negeri ini, dari 7 sehingga 20 Januari, KKM mengesahkan berlaku penularan tempatan yang tinggi di negeri ini di mana secara purata kes harian melebihi 1,000 kes dilaporkan dalam tempoh 14 hari ini,” katanya.

Menurutnya, empat daerah pula mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu Klang (4,403), Petaling (3,125), Hulu Langat (2,550) dan Sepang (1,203).

Katanya, peningkatan kes turut direkodkan di Melaka iaitu sebanyak 2,370 kes positif dan semua daerah di negeri itu kini berada dalam zon merah.

“KKM turut mengesahkan trend jangkitan Covid-19 semakin meningkat dalam komuniti di negeri ini ketika ini.

“Selain itu, di Kuala Lumpur sebanyak 19,411 kes positif Covid-19, Putrajaya (637) dan Labuan (1,919) telah direkodkan di tiga wilayah ini,” katanya.

Ismail Sabri berkata, tidak ketinggalan di Johor yang dilaporkan kes harian masih tinggi iaitu purata 405 kes sehari di mana lapan daerah berada dalam zon merah serta dua daerah zon jingga.

“Di Kelantan juga berdepan situasi yang sama iaitu sebanyak 2,387 kes positif Covid-19 direkodkan dengan 1,208 kes direkodkan dalam tempoh 14 hari.

“Sementara itu, Sabah merekodkan 45,008 kes positif Covid-19 dengan 6,027 kes direkodkan dalam masa 14 hari,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Asrama Westlite, Taman Perindustrian Tampoi Jaya, Johor Bahru esok.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan