PKP: Habiskan RM5,000 ubahsuai sendiri bilik tidur

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak lebih sebulan lalu membawa kepada pelbagai aktiviti dilakukan rakyat Malaysia bagi mengisi masa terluang di rumah masing-masing.

Bagi Mohd Rafeq Said, 34, pengumuman PKP oleh Perdana Menteri bulan lalu dimanfaatkan untuk meneruskan perancangan mendekorasi kediaman khususnya bilik tidur bagi memastikan sasaran menyiapkan ubah suai sebelum Syawal tahun ini terlaksana.

Pegawai tadbir sektor awam itu berkata, seawal mula bekerja secara tetap beberapa tahun lalu dia sudah berazam untuk menyimpan wang yang mencukupi bagi tujuan ubah suai rumah sebaik memiliki kediaman sendiri.

Katanya, simpanan untuk tujuan itu sudah dibuat sebelum rumah didiami kini masih milik tuan rumah terdahulu yang kemudian memutuskan menjual unit apartmen terbabit di Shah Alam, Selangor kepadanya pada 2018.

“Saya gemarkan konsep IKEA yang pada saya nampak kontemporari dan minimalis, jadi memang saya sering ke sana untuk lihat dekorasi terbaik mengikut citarasa dan ‘budget’ saya.

“Selepas beli rumah ini, saya mulakan ubah suai sedikit demi sedikit termasuk membeli beberapa perabot utama untuk bilik tidur bermula awal tahun ini.

“Apabila ada ura-ura mengatakan PKP akan dilaksana, saya terfikir kemungkinan besar akan banyak menghabiskan masa di rumah jadi saya beli cat dan putuskan untuk mengecat sendiri dinding bilik berbanding mengupah orang lain,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

BILIK tidur Mohd Rafeq selepas diubah suai sepanjang PKP. FOTO Ihsan pembaca
BILIK tidur Mohd Rafeq selepas diubah suai sepanjang PKP. FOTO Ihsan pembaca

Bercerita lanjut, Mohd Rafeq berkata, hanya katil dan almari pakaian dipasang pekerja IKEA sementara selebihnya dibuat sendiri termasuk pemasangan lampu untuk pencahayaan di biliknya.

Katanya, dia belanjakan RM5,000 untuk dekorasi bilik berkenaan dan kini hanya menunggu PKP tamat untuk pemasangan pendingin udara berikutan kerja dekorasi lain sudah siap.

“Saya langsung tidak merancang untuk melakukan semua ini sendiri sebaliknya bercadang untuk upah orang terutama berkaitan mengecat. Namun apabila PKP dilaksanakan, saya tidak mahu buang masa begitu saja.

“Jadi, saya cuba dapatkan maklumat mengenai cara mengecat dan memasang lampu yang betul menerusi internet termasuk Youtube bagi melakukannya sendiri sewaktu PKP.

“Ada yang mengatakan saya kedekut gara-gara sanggup ikat perut untuk menyimpan tetapi pada saya ini pilihan masing-masing. Saya sanggup ikat perut jika ia mampu buatkan impian untuk miliki kediaman seumpama ini sejak kecil tercapai,” katanya.

Menurut Mohd Rafeq, walaupun ada yang mengatakan dia sengaja merancang melakukan ubah suai itu pada waktu PKP sedangkan realiti adalah sebaliknya, dia tidak kisah selagi bilik itu mampu memberi inspirasi kepada semua termasuk dirinya sendiri.

“Mujur juga saya tidak tunggu PKP tamat sebaliknya siapkan sendiri kerja dekorasi ini kerana PKP pun sudah dilanjut dua kali.

“Selain lega ia siap, saya juga lebih tenang untuk duduk di rumah dalam keadaan bilik yang lebih baik,” katanya lagi.

Terdahulu, Mohd Rafeq tular di media sosial susulan perkongsiannya membabitkan ubah suai yang dilakukan pada bilik tidurnya sepanjang tempoh PKP bermodalkan RM5,000.

Hantarannya di laman Twitter yang memaparkan gambar sebelum dan selepas ubah suai bilik tidurnya itu mendapat lebih 14,000 tanda suka dan diulangkicau lebih 7,000 kali.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan