PKP: Lebih 300 SJR bermula tengah malam ini

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka melakukan lebih 300 sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara dan setakat ini memiliki kekuatan 48,000 anggota dan pegawai untuk tugasan itu mulai tengah malam ini apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya juga memiliki kekuatan tambahan 12,000 anggota dan pegawai untuk dikerahkan bagi tujuan itu.

Katanya, apa pun beliau sudah mengarahkan pasukannya yang bertugas di SJR supaya mengamalkan konsep berhemah dan budi bicara sehingga Jumaat ini untuk memberi peluang kepada mana-mana individu tersangkut rentas negeri atas beberapa sebab.

“Saya difahamkan terdapat ramai berada di negeri lain berkunjung saudara-mara, mungkin mereka terperangkap esok. Hari pertama, kedua dan mungkin hingga Jumaat ini saya minta petugas SJR untuk menggunakan budi bicara kepada mereka terkandas dibenarkan balik.

“Ini termasuk mereka yang sudah menempah tiket penerbangan, kita benarkan. Perkara ini juga sudah dibincangkan bersama Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan beliau meminta untuk kita lebih menggunakan budi bicara ketika hari terawal,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata, beliau turut mengingatkan petugas supaya seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan orang ramai ketika SJR dan akan sedaya-upaya beri laluan mudah untuk pekerja yang bawa pas pekerja.

“Seboleh-bolehnya PDRM memudahkan pergerakan. Kita faham keperluan menjaga kesihatan dan ekonomi, amat sukar mencari titik temu. Saya harap PKP pertama menjadi pengajaran,” katanya.

Menurut beliau, jika ada mana-mana pihak atau pun individu rasa tidak puas hati jika dikompaun tak bersalah, boleh rujuk semula kepada PDRM supaya pihaknya dapat mencari kebenarannya siapa yang bersalah.

Dalam pada itu, katanya, tugasan di sempadan negara kekal seperti sedia ada dan tidak diganggu termasuk penugasan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan anggota yang terbabit dalam Op Benteng.

“Di samping itu saya memahami petugas keselamatan negara yang bertugas lebih 10 jam. Di pihak PDRM, saya keluarkan arahan cuti untuk semua dibekukan serta-merta kecuali kes kecemasan bagi menjamin kekuatan semaksima boleh untuk memantau prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KKM.

“PDRM bersimpati dengan keluarga di mana ahli keluarganya meninggal dunia akibat Covid-19. Polis sudah mendengar taklimat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Keputusan untuk melaksanakan PKP memang wajar sekali. Adalah menakutkan jika tindakan drastik serta-merta tidak diambil. Hari ini pun kes positif Covid-19 mencecah 3,309, kes harian tertinggi,” katanya.

Ditanya mengenai Proklamasi Darurat yang diisytiharkan hari ini, Abdul Hamid berkata, PDRM tidak meminta apa-apa lebih dari sudut kuasa.

“(Proklamasi) Darurat diumumkan tidak mengubah kuasa polis,” katanya.