PKP satu hingga empat sudah diwartakan [METROTV]

SEMUA Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan sejak fasa pertama sudah diwartakan, supaya tindakan penguatkuasaan boleh dijalankan pihak berkuasa.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pewartaan itu dibuat mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Saya perjelaskan kerana dalam PKP sebelum ini ada peguam menulis mengatakan PKP tidak diwartakan.

“Setiap PKP dari yang pertama kedua, kedua dan keempat, kerajaan sudah mewartakannya, kalau tiada pewartaan sudah tentu pihak polis tidak boleh melaksanakan tindakan penguatkuasaan,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, PKP fasa empat juga sudah diwartakan dan berkuat kuasa antara 29 April hingga 12 Mei.

ISMAIL Sabri Yaakob. FOTO Bernama.
ISMAIL Sabri Yaakob. FOTO Bernama.

Menurutnya, terdapat sedikit kelonggaran bagi Prosedur Operasi Standard (SOP) pergerakan dalam PKP empat berbanding sebelum ini.

Katanya, bermula hari ini, Kerajaan membenarkan dua orang untuk bergerak dalam satu kenderaan, dengan syarat kedua-duanya adalah ahli keluarga dan dari rumah yang sama.

“SOP pergerakan sebelum ini membenarkan pergerakan hanya seorang dalam kenderaan bagi radius 10 kilometer dari kediaman dan pergerakan yang melebihi 10 kilometer adalah atas budi bicara PDRM.

“Dalam pewartaan terbaru, Kerajaan memutuskan untuk membenarkan pergerakan bagi membeli keperluan harian dan mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan boleh melebihi radius 10 kilometer sekiranya keperluan dan perkhidmatan itu tidak terdapat di dalam radius 10 kilometer dari kediamannya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19