PKP: Seronok berparti ya?

KESERONOKAN 19 individu mengadakan parti liar di sebuah unit kondominium di Taming Jaya, Kajang, terbantut apabila mereka ditahan polis dalam serbuan di kediaman itu, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung sekumpulan individu berkumpul dan membuat bising di kediaman itu sebelum serbuan dilakukan 12.30 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan dilakukan di kediaman terletak di tingkat 15 itu mendapati terdapat 14 lelaki dan lima wanita berusia antara lingkungan 20-an hingga 30-an sedang asyik berhibur dengan muzik serta meminum minuman keras di ruang tamu.

“Siasatan awal mendapati premis kediaman itu disewa secara harian daripada pemilik oleh seorang daripada individu berkenaan dengan bayaran RM140 sehari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, siasatan lanjut juga mendapati kebanyakan mereka datang dari kawasan Gombak, Taman Impian Ehsan dan Bandar Tun Hussein Onn.

“Berdasarkan keterangan diambil, tujuan mereka berkumpul di kediaman itu adalah semata-mata untuk berkumpul dengan rakan, selain berhibur bersama.

“Siasatan juga mendedahkan kumpulan ini melakukan kutipan antara mereka sebanyak RM20 hingga RM30 setiap seorang bagi menampung pembayaran kediaman yang disewa,” katanya.

KUMPULAN individu yang ditahan menyertai parti liar. FOTO Ihsan Polis
KUMPULAN individu yang ditahan menyertai parti liar. FOTO Ihsan Polis

Beliau berkata, tindakan mereka berkumpul untuk berhibur melanggar peraturan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Namun, siasatan terhadap mereka diklasifikasikan mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan direman selama empat hari bermula hari ini hingga 7 April ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, seramai 66 individu, termasuk lima wanita ditahan dengan 36 kertas siasatan atas pelbagai kesalahan direkodkan di daerah ini bagi tempoh pertama fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 hingga 31 Mac lalu.

“Kami memberi keutamaan dan perhatian dalam isu perlanggaran arahan PKP. Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa sepanjang pelaksanaan arahan itu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan