PKPB di Mukim Peringat, Kota hingga 17 Januari

Kuala Lumpur: Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim Peringat dan Kota di Kota Bharu, Kelantan bermula esok sehingga 17 Januari ini berikutan peningkatan ketara kes positif Covid-19 di lokaliti terbabit.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dua mukim itu menyumbang kes tertinggi di daerah Kota Bharu membabitkan dua kluster iaitu Kluster Halban dan Kluster Pintu Geng.

“Atas nasihat dan penilaian risiko Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan bersetuju melaksanakan PKPB di dua mukim berkenaan di bawah daerah jajahan Kota Bharu bermula 4 sehingga 17 Januari ini.

“Pelaksanaan PKPB ini bagi membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar dan mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti di kedua-dua mukim itu,” katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri mengesahkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Depot Tahanan Imigresen Langkap dan Kuarters Kakitangan, Hilir Perak, Perak hari ini, iaitu 11 hari lebih awal daripada dijadualkan.

“Sehingga kini, KKM selesai melaksanakan ujian saringan ke atas semua tahanan dan kakitangan.

“KKM turut mengesahkan kes positif harian di depot tahanan iti menunjukkan trend penurunan dan terkawal serta tiada lagi sampel menunggu keputusan,” katanya.

Sementara itu, katanya, gagal mematuhi aktiviti penjarakan fizikal dan aktiviti di pusat hiburan masih mencatatkan antara kesalahan tertinggi ingkar PKPP direkodkan hari ini.

“Seramai 153 individu ditahan kerana gagal mematuhi penjarakan fizikal, manakala 149 lagi kerana aktiviti di pusat hiburan.

“Daripada jumlah itu, keseluruhan yang ditahan atas kesalahan ingkar arahan PKPP berjumlah 434 individu, 422 daripadanya dikompaun dan 12 lagi direman,” katanya.

Mengenai Op Benteng, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) mengadakan 105 sekatan jalan raya di seluruh negara semalam dan berjaya menahan 43 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang tekong serta merampas lima kenderaan berat bagi mengekang kemasukan PATI terutamanya di lorong tikus.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19