PKPB KL, Selangor, Sabah dilanjutkan [METROTV]

Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah dilanjutkan bermula Isnin ini sehingga 31 Disember.

Turut dilanjutkan PKPB di Mukim 12 (Barat Daya), Mukim 13 (Timur Laut) di Pulau Pinang; Ipoh, Chemor (Mukim Hulu Kinta) di Perak; Seremban, Port Dickson di Negeri Sembilan; dan Johor Bahru, Batu Pahat, Kulai di Johor.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPB itu dilanjutkan atas nasihat dan penilaian risiko yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sebanyak 22,931 kes positif Covid-19 direkodkan di Selangor dan 9,426 kes bagi Kuala Lumpur. Sehingga kini terdapat peningkatan ketara terutama dalam kalangan bukan warganegara melalui ujian saringan di tempat kerja serta wujud beberapa kluster baru.

“Oleh itu, atas nasihat KKM kerajaan bersetuju melanjutkan PKPB di Kuala Lumpur dan Selangor kecuali Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ismail Sabri berkata, di Sabah pula secara kumulatif sebanyak 33,823 kes positif Covid-19 direkodkan, malah jumlah kes harian masih lagi tinggi membabitkan kluster kediaman di kalangan penduduk tempatan.

Katanya, kes harian di Mukim 12 dan Mukim 13 di Pulau Pinang juga menunjukkan peningkatan.

“Selain itu, baki kes aktif di Ipoh dan Chemor masih tinggi dan menunjukkan tren peningkatan. Di Mukim Changkat Jong kebanyakan kes adalah dari Depot Tahanan Imigresen Langkap dan kesemua saringan kontak rapat dalam kalangan kakitangan adalah negatif.

“Atas nasihat dan penilaian risiko KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPB di Ipoh dan Chemor di Mukim Hulu Kinta kecuali Mukim Changkat Jong ditamatkan mulai esok,” katanya.

Tambah beliau, sehingga semalam KKM merekodkan 464 kes di Johor Bahru, 494 kes di Batu Pahat dan 78 kes di Kulai selain mengesahkan ujian saringan Covid-19 dalam komuniti semakin bertambah di ketiga-tiga daerah itu manakala Kota Tinggi menunjukkan penurunan.

Ismail Sabri Yaakob. FOTO Facebook Majlis Keselamatan Negara
Ismail Sabri Yaakob. FOTO Facebook Majlis Keselamatan Negara

Justeru, beliau berkata, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPB di Johor Bahru, Batu Pahat dan Kulai kecuali Kota Tinggi.

Sementara itu, beliau berkata, PKPB di daerah Kulim, Kedah dan Kubang Kerian, Kusial di Kelantan ditamatkan bermula Ahad ini.

Menurutnya, keputusan penamatan itu dibuat selepas penilaian risiko oleh KKM mendapati tiada lagi kes positif Covid-19 baharu direkodkan di kawasan berkenaan.