PKPD di Amanjaya, Sungai Petani mulai esok [METROTV]

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara Pentadbiran di Amanjaya, Sungai Petani, Kedah akan dijalankan berkuat kuasa 12.01 tengah malam ini sehingga satu tempoh yang akan diumumkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPDP Secara Pentadbiran itu diputuskan hasil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP.

Menurutnya, arahan itu membabitkan Zon Kenanga, Zon Mawar dan Zon Melur di Amanjaya, Sungai Petani.

Katanya, ia akan berkuat kuasa 12.01 tengah malam esok sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ia membabitkan 22,360 isi rumah dan kesemua akan disaring oleh petugas KKM.

“Penduduk di zon terbabit tidak dibenarkan untuk keluar zon, manakala orang luar tidak dibenarkan untuk memasuki zon terbabit,” katanya pada sidang media khas Covid-19, hari ini.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan sekatan jalan raya dan kawalan di jalan keluar masuk zon yang terbabit.

“Individu yang perlu keluar untuk bekerja tidak dibenarkan dan mereka yang (datang) dari luar untuk bekerja ke kawasan PKPD secara Pentadbiran itu juga tidak dibenarkan.

“Majikan diminta mengambil maklum dan tidak akan mengambil tindakan ke atas pekerja kerana ini perintah kerajaan sebaliknya membenarkan mereka bekerja dari rumah,” katanya.

Beliau berkata, hanya premis perniagaan yang menyediakan perkhidmatan perlu sahaja dibenarkan beroperasi seperti perkhidmatan makanan, farmasi, klinik dan hospital.

“Premis perniagaan lain seperti kilang adalah dilarang untuk beroperasi sementara restoran dan kedai makan boleh menggunakan kaedah bungkusan sahaja dan dibenarkan operasi bermula 8 pagi hingga 8 malam.

“Stesen minyak dan kedai runcit juga beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam, sementara pasar malam dan pasar tani tidak dibenarkan manakala pasar harian dibenarkan bermula 6 pagi hingga 2 petang,” katanya.

Katanya, bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian dibenarkan untuk keluar zon, tetapi perlu mengemukakan permohonan kepada polis.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan