PKPD di Pusat Koreksional Johor Bahru, Dewan Arena Segitiga di Kota Tinggi

Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Pusat Koreksional Johor Bahru serta kuarters kakitangan pusat itu bermula esok sehingga 10 Januari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD di pusat itu diputuskan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat lapan kes positif Covid-19 direkodkan dalam tempoh lapan hari bermula 16 Disember hingga 23 Disember lalu.

Menurutnya, kes terbabit dikesan ketika orang kena tahan (OKT) hadir bicara mahkamah di daerah lain.

“Terdapat seramai 685 orang dalam kalangan OKT dan kakitangan di pusat koreksional yang terdedah kepada lapan kes positif terbabit.

“Sehubungan itu, atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Pusat Koreksional Johor Bahru dan Kuarters Kakitangan, Batu 19 Jalan Ulu Choh-Pontian, Johor Bahru,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, PKPD itu membabitkan 937 tahanan, 322 kakitangan dan 128 ahli keluarga yang tinggal di kuarters meliputi 102 unit rumah.

“Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk menghalang penularan Covid-19 dalam kalangan tahanan, pegawai dan anggota yang bertugas di PKJB serta mencegah penularan ke tempat tahanan yang lain.

“Prosedur operasi standard (SOP) PKPD di pusat tahanan ini adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini, antaranya tiada pergerakan keluar masuk dan lawatan ahli keluarga tidak dibenarkan,” katanya.

Sementara itu, kerajaan turut bersetuju melaksanakan PKPD di Dewan Arena Segitiga, Lot 19094, Taman Desa Sejahtera, Mukim Kota Tinggi, Johor untuk menempatkan kesemua tahanan yang positif Covid-19 dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD itu juga untuk mengawal penularan Covid-19 dan saringan secara bersasar dapat dilaksanakan ke atas semua tahanan dan kakitangan yang terbabit.

“KKM hari ini turut melaporkan terdapat peningkatan jangkitan Covid-19 dikesan dalam kalangan tahanan di lokap IPD Kota Tinggi.

“Sehingga kini, KKM sudah melaksanakan 171 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 125 kes positif Covid-19 telah direkodkan dalam kalangan tahanan di lokap ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan