PKPD ke-5 di Masjid India [METROTV]

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) diperluaskan di kawasan Masjid India dan kawasan sekitarnya bermula hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD kelima itu merangkumi Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Jalan Melaka dan Jalan Ampang sehingga 28 April.

Menurutnya, keputusan itu dibuat kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan susulan peningkatan kes positif di kawasan berkenaan.

“Semua penghuni kawasan berkenaan diminta bertenang dan bekerjasama sepenuhnya kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Prosedur operasi standard (SOP) yang akan digunakan sama saja seperti di PKPD sebelum ini,” katanya dalam sidang media harian Covid-19, di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan memutuskan PKPD di Batu 21 hingga Batu 23, Kampung Sungai Lui, Hulu Langat ditamat malam tadi.

Bagaimanapun, katanya PKPD bagi Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah dan sebuah rumah di Batu 23, Kampung Paya Lebar, Sungai Lui dilanjutkan sehingga 28 April.

“Perlaksanaan PKPD di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor dilanjutkan lagi sehingga 28 April kerana penambahan kes positif COVID-19 dalam kalangan penduduk,” katanya.

Sehingga hari ini, sebanyak lima PKPD dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penularan pandemik itu selain mahu memutuskan sepenuhnya rantaian penularan.

Dalam pada itu, kerajaan akan memperkenalkan SOP lebih ketat di zon merah selepas menerima cadangan lanjut daripada KKM dan polis.

“SOP yang digunakan hari ini sudah ketat dari segi waktu operasi pasar raya dan penjarakan sosial cuma isu sekarang ramai yang keluar dan penambahan sekatan jalan raya akan dibuat untuk mengawal pergerakan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan