PKPD Simpang Renggam lanjut sehingga 14 April [METROTV]

KERAJAAN menetapkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Simpang Renggam, Johor dilanjutkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di daerah berkenaan yang sepatutnya tamat hari ini akan dilanjutkan sehingga 14 April depan.

Menurutnya, keputusan perlanjutan tempoh perintah itu dicapai dalam mesyuarat hari ini susulan terhadap beberapa perkara yang masih belum diselesaikan.

“Kita setuju sambung empat hari lagi untuk selesaikan beberapa perkara yang masih dalam tindakan,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dua kampung di daerah Simpang Renggam dikenakan PKPD bermula sejak 27 Mac lalu susulan jumlah kes yang tinggi di kawasan berkenaan.

PEMANDANGAN dari udara keadaan Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid yang dikenakan PKPD. FOTO Fathil Asri
PEMANDANGAN dari udara keadaan Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid yang dikenakan PKPD. FOTO Fathil Asri

PKPD membabitkan Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid dengan 3,570 penduduk tempatan daripada 650 keluarga.

Ismail Sabri berkata, dengan pelaksanaan perintah itu, semua penduduk tempatan dan pelawat yang berada di kedua-dua kawasan tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebarang keputusan membabitkan PKPD termasuk dakwaan terdapat sebuah kampung di Rembau, Negeri Sembilan yang akan dikenakan arahan sama hanya dibuat selepas penilaian dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sebarang keputusan untuk PKPD akan diperhalusi oleh KKM dan kerajaan akan tunggu laporan sebelum sebarang keputusan dapat dibuat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan