PKPD TEMCO di Mukim Tawar pula?

KERAJAAN negeri Kedah sedia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) di Mukim Tawar di Baling, berikutan kluster baharu Covid-19 dikesan di kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, bagaimanapun sebarang keputusan lanjut pelaksanaannya bergantung keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Perbincangan segera akan dilakukan bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah dan Pejabat Daerah Baling mengenai perkara ini.

“Kerajaan negeri hanya boleh beri nasihat sekiranya TEMCO dilaksanakan dan kita harap ia dapat terus dilakukan berkemungkinan esok bagi mengelak penularan ke kawasan lain,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan satu lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di Kedah, yang sehingga kini sudah menjangkiti sembilan individu daripada satu keluarga.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham dipetik berkata, Kluster Tawar itu kebanyakannya bertumpu di Mukim Tawar, Baling.

Dalam pada itu, Dr Mohd Hayati menggesa orang ramai yang pernah bertemu dengan individu terbabit dengan kluster berkenaan tampil segera membuat saringan Covid-19.

Pada masa sama, beliau mengingatkan mereka dipakaikan gelang merah jambu untuk mematuhi arahan kuarantin di rumah masing-masing.

“Kita minta orang ramai amalkan prosedur operasi standard (SOP) digariskan kerajaan seperti biasa, elakkan berkumpul ramai-ramai dan kalau boleh elakkan makan di kedai makan, beli bungkus dan makan di rumah.

“Jemaah surau dan masjid diingatkan terus patuhi SOP, bawa sejadah masing-masing, elak bersalaman dan jaga jarak dengan jemaah lain,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19