PKPP: Perutusan khas PM malam ini

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyampaikan perutusan khas, malam ini berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan tamat tiga hari lagi.

Muhyiddin dijadualkan menyampaikan ucapan pada 8 malam dan ia akan disiarkan di semua platform RTM, Bernama TV, TV3 dan Astro Awani.

Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Kerajaan kemudian mula melonggarkan PKP pada 4 Mei, dengan mengumumkan PKP bersyarat (PKPB) yang kemudian beralih ke PKPP bermula 10 Jun lalu.

Sebelum ini Kementerian Kesihatan (KKM) dilaporkan mengesyorkan PKPP dilanjutkan sehingga jangkitan Covid-19 di negara ini terkawal selepas ia akan tamat pada 31 Ogos ini.

Menteri Kesihatan Datuk Sri Dr Adham Baba dilaporkan berkata, cadangan itu sudah dikemukakan kepada Perdana Menteri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu majoriti pembaca Harian Metro yang menyertai undian sama ada wajarkah PKPP dilanjutkan selepas berakhir 31 Ogos ini di Facebook dan Twitter bersetuju ia wajar dilanjutkan.

Seramai 13,957 orang menyertai undian di Facebook dengan 12,013 membuat undian wajar sementara 1,944 tidak wajar disambung PKPP.

Melalui undian di laman Twitter pula 81.3 peratus daripada 1,443 yang membuat undian bersetuju ia disambungkan sementara 18.7 peratus tidak bersetuju.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan