PM Britain Boris Johnson kembali bertugas selepas pulih COVID-19

Boris Johnson kembali bertugas pada Isnin selepas menjalani rawatan selama tiga minggu untuk pulih daripada jangkitan COVID-19. -Gambar fail

LONDON: Perdana Menteri Britain Boris Johnson kembali bertugas pada Isnin selepas menjalani rawatan selama tiga minggu untuk pulih daripada jangkitan COVID-19.

Johnson berada satu minggu di hospital dan dua minggu lagi di kediaman rasminya.

Bagaimanapun, jurucakap negara enggan mendedahkan kedudukan Johnson ketika ini.

Memetik sumber kerajaan sebelum ini, Johnson tidak sabar untuk mula bekerja dan akan bertemu Setiausaha Kesihatan Matt Hancock selain dijadual mempengerusikan taklimat harian mengenai COVID-19 pada Isnin.

Sebaik memulakan tugasnya nanti, Johnson dijangka bergelut dengan isu sama ada akan melonggarkan sekatan memandangkan jangkitan dan kemasukan ke hospital menunjukkan penurunan.

Johnson disahkan dijangkiti COVID-19 pada akhir Mac dan dimasukkan ke Hospital St Thomas pada 5 April, sebelum dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) pada hari berikutnya.

UK pada Ahad mencatatkan 413 kematian baru. Angka berkenaan menjadikan kematian terkumpul sebanyak 20,732 orang.

Jumlah tersebut adalah kenaikan kematian harian terendah yang dilaporkan Britain sejak 31 Mac.

Angka positif meningkat 4,000 kes kepada 152,000 orang.