PM Jepun beri jaminan dirinya dalam keadaan sihat

Abe pada masa sama memberitahu media tempatan, lawatannya ke hospital hanyalah bagi melakukan pemeriksaan kesihatan. Foto: REUTERS

TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Abe Shinzo memberi jaminan beliau dalam keadaan sihat.

Abe pada masa sama memberitahu media tempatan, lawatannya ke hospital hanyalah bagi melakukan pemeriksaan kesihatan.

"Sebagai langkah awal mencegah sebarang masalah kesihatan, saya melakukan pemeriksaan kesihatan semalam.

"Saya kini kembali bekerja keras seperti biasa," katanya ketika ditemui di luar sebuah hospital pada Rabu.

Abe bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang pemeriksaan kesihatan yang dilakukan itu.

Pada Isnin, media tempatan melaporkan Abe dilihat meninggalkan Hospital Universiti Keio di Tokyo.

Bagaimanapun tiada kenyataan rasmi oleh Abe mahupun pejabatnya.

Spekulasi mengenai kesihatan Abe mula hangat diperkatakan selepas beberapa ahli politik negara itu secara terbuka memaklumkan Abe tidak mendapat rehat yang cukup kerana sering bekerja keras.

Untuk rekod, Abe, 65, semasa memegang jawatan perdana menteri pada akhir September 2006, pernah secara tiba-tiba mengundurkan diri daripada jawatannya pada 2007, dikatakan kerana menghidap penyakit berkaitan usus.