PM Rusia positif COVID-19, TPM jadi pengganti sementara

Mikhail Mishustin menjadi mangsa pertama dalam kalangan ahli politik berprofil tinggi di negara itu yang dijangkiti COVID-19. – REUTERS/Fail

PERDANA MENTERI Rusia, Mikhail Mishustin menjadi mangsa pertama dalam kalangan ahli politik berprofil tinggi di negara itu yang dijangkiti COVID-19.

Mishustin pada Jumaat memaklumkan bahawa beliau positif virus itu dan perlu akur dengan peraturan kuarantin diri demi keselamatan rakan-rakan lain.

“Saya baru dapat tahu ujian saringan dibuat sebelum ini mengesahkan bahawa saya positif COVID-19, jadi saya perlu mengasingkan diri,” katanya menerusi satu sidang video yang disiarkan di saluran berita Russia 24.

Susulan itu, Presiden Rusia Vladimir Putin yang turut menyertai sidang itu menandatangani keputusan Mishustin untuk melantik Timbalan Perdana Menteri Pertama Andrei Belousov, sebagai pengganti sementara.

Putin, sebelum ini, dilaporkan tidak mengadakan sebarang pertemuan dan kali terakhir dilihat bersama Mishustin pada 24 Mac lalu.

Mishustin pada Januari tahun ini dilantik sebagai Perdana Menteri baharu selepas seluruh kabinet Rusia mengumumkan pengunduran dari pentadbiran negara itu.

Setakat Jumaat, Rusia mencatatkan lebih 100,000 kes jangkitan dengan 1,073 kematian akibat COVID-19.

BACA: COVID-19: Rusia umum lanjut sekatan hingga 11 Mei