PM tenang saja

Kuala Lumpur: Selepas hampir dua jam pengumuman Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau berjaya mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelihatan tenang dan bersahaja ketika menyampaikan Perutusan Khas Kita Prihatin.

Muhyiddin menyampaikan perutusan khas itu pada jam 2.30 petang dan disaksikan secara langsung menerusi siaran televisyen utama dan melalui laman sosial.

Dalam perutusannya, Muhyiddin tidak menyentuh langsung mengenai isu politik terutama membabitkan pembubaran parlimen seperti dijangka berikutan pengumuman Anwar.

Beliau mengumumkan inisiatif bantuan tambahan kepada empat kategori golongan bagi mengurangkan beban rakyat menghadapi impak Covid-19.

Di penghujung ucapannya, Muhyiddin meminta rakyat Malaysia menolak tindakan membuta tuli segelintir ahli politik yang menjejas pelan pemulihan ekonomi yang sedang berjalan.

“Apa yang perlu ialah sebuah kerajaan yang stabil dan teguh dengan sokongan dan dokongan saudara dan saudari sekalian. Ini penting supaya lebih banyak inisiatif untuk memulihkan ekonomi dan membantu rakyat jelata dapat dilaksanakan dengan berkesan oleh kerajaan.

“Saya merayu saudara dan saudari sekalian supaya menolak tindakan membuta tuli segelintir ahli politik yang sengaja mahu menjejaskan kestabilan politik dan pelan pemulihan ekonomi negara yang sedang dilaksanakan dengan baik pada masa ini.

“InsyaAllah, kita boleh melakar masa depan yang lebih baik dari semalam. Saya yakin dan percaya kepada kekuatan semangat kita sebagai rakyat Malaysia. Marilah kita bersama-sama mendoakan kemakmuran negara kita dan kesejahteraan seluruh rakyat. Mudah-mudahan pakej Kita Prihatin ini akan dapat memberikan manfaat yang besar kepada saudara dan saudari sekalian,” katanya.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menerusi Twitter berkata, tiada apa yang tumbang atau jatuh.

“Baru selesai mesyuarat Jemaah Menteri. Tidak ada apa-apa yang tumbang atau jatuh,” katanya.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan turut membuat ciapan ringkas: “Tiada apa yang perlu dibimbangkan. Saya berada dalam mesyuarat (Jemaah Menteri), sibuk merancang demi rakyat bersama Perdana Menteri,” katanya.

Anwar dalam sidang media khas hari ini berkata, beliau yakin mempunyai majoriti hampir dua pertiga Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Beliau berkata, sokongan yang dianggap kukuh dan meyakinkan itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebaik baginda keluar daripada Institut Jantung Negara (IJN).

“Sebenarnya saya mendapat perkenan mengadap baginda Selasa pada jam 11 pagi, namun terpaksa ditangguhkan selepas baginda menerima rawatan di IJN.

“Dengan sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan ini, bermakna kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin jatuh,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Saya masih Perdana Menteri: Muhyiddin
  • Agong titah semua pihak utamakan kesejahteraan rakyat
  • Anwar bersandiwara untuk meraih sokongan rakyat Sabah: Rosol
  • Anwar rakus, gila kuasa
  • GPS berdiri teguh di belakang Muhyiddin
  • DAP sokong Anwar
  • ‘Kerajaan tidak tumbang dengan hanya isytihar sahaja’
  • Amanah sokong Anwar
  • ‘Saya dapat sokongan hampir dua pertiga Ahli Parlimen’ – Anwar
  • Anwar umum dapat sokongan kukuh bentuk kerajaan baharu