Polis buat laporan polis terhadap peniaga burger tular

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuat laporan polis berhubung video dakwaan fitnah dan tohmahan yang ditularkan seorang lelaki semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, laporan dibuat seorang pegawai polis susulan video tular pemilik akaun Facebook ‘Asri Janggut’.

“Dalam video berkenaan juga didapati pemilik akaun berkenaan tidak berpuas hati atas tindakan penyitaan ke atas gerai burger milik beliau yang dilakukan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Pengadu merasakan video yang tular di media sosial berkenaan boleh menimbulkan fitnah dan merosakkan imej pengadu sebagai Ketua Polis Balai Sungai Buloh, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, PDRM dan kredibiliti Ketua Polis Selangor,” katanya pada sidang media, di Sungai Buloh, hari ini.

Shafa’aton berkata, susulan maklumat berkenaan sepasukan polis daerah Sungai Buloh membuat enam serbuan di Bandar Baru Sungai Buloh seperti yang ditularkan.

“Dalam serbuan berkenaan polis menahan dua lelaki warga Bangladesh selain merampas empat tablet dan wang tunai RM114.

“Manakala lima lagi serbuan di tempat berlainan mendapati premis berkenaan tidak beroperasi, jelas ia adalah tohmahan,” katanya.

Menurutnya, sebelum video berkenaan ditularkan, polis sudah membuat serbuan di beberapa lokasi yang dikenal pasti menjalankan perniagaan haram ini.

“Apa yang ditularkan itu adalah fitnah sehingga mendatangkan keresahan dalam kalangan masyarakat dan menjatuhkan reputasi PDRM.

“Saya menyeru kepada orang ramai supaya menyalurkan kepada orang ramai maklumat-maklumat melalui saluran yang disediakan,” katanya.

Berita berkaitan

• Gerai burger disita selepas nasihat tak diendah: MBSA