Polis cari lelaki buat aksi sarkas di Jalan Kuching [METROTV]

Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang menunggang motosikal menggunakan kaki pada pemegang motosikal di Jalan Kuching, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, pihaknya sudah mengesan motosikal berkenaan menerusi alamat yang didaftarkan.

“Ketika ke rumah terbabit, motosikal itu didapati didaftarkan atas nama seorang lelaki dipercayai bapanya.

“Susulan itu polis merampas motosikal berkenaan dan penunggang motosikal dipercayai anaknya itu tidak berada di rumah,” katanya.

Zulkefly berkata, usaha untuk mengesan suspek kini sedang giat dijalankan.

“Suspek dikenali sebagai M Thiruvarasu, 36, beralamat di Selayang baru. Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Terdahulu, aksi lelaki terbabit yang menunggang motosikal menggunakan kaki pada pemegang motosikal tular di media sosial, sejak semalam.

Menerusi video berdurasi 41 saat itu memaparkan lelaki berkenaan menunggang motosikal secara berbahaya dengan meletakkan kedua-dua belah kaki di pemegang motosikal sambil kedua-dua belah tangannya sedang memegang bungkusan air.

Video berkenaan menerima pelbagai reaksi dari netizen yang mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penunggang motosikal berkenaan.