Polis cari pemandu Vios [METROTV]

POLIS memburu pemilik kereta Toyota Vios yang dipandu lawan arus di laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan berhampiran Angkasapuri sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal terbabit kemalangan, Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kejadian berlaku 4 petang apabila pekerja bank berusia 29 tahun menunggang motosikal dari arah Petaling Jaya menghala ke Putrajaya terlanggar tembok kiri di bahu jalan akibat mengelak daripada melanggar kereta yang melawan arus itu.

Menurutnya, video dirakam mangsa sebelum kejadian jelas menunjukkan pemandu kereta melawan arus di laluan motosikal secara tiba-tiba keluar dari terowong dan seterusnya menyebabkan penunggang terbabit hilang kawalan lalu terlanggar tembok sementara pemandu kereta meneruskan perjalanan.

“Usaha untuk mengesan pemilik kereta QMN 5338 sedang dibuat kerana didaftarkan atas nama seorang lelaki beralamat di Sarawak.

“Mohon pemandu atau pemilik datang menyerah diri ke balai polis Trafik JSPT Kuala Lumpur atau sesiapa mempunyai maklumat boleh hubungi Sarjan Shamsul Kamal atau Asisten Superintendan Khairul Naim di talian 03-20719999,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, akibat kejadian itu juga, mangsa cedera di lutut kiri dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

PETIKAN video menunjukkan kereta yang dipandu lawan arus di lorong motosikal
PETIKAN video menunjukkan kereta yang dipandu lawan arus di lorong motosikal