Polis Okinawa pening dengan Rojo-ne

Tokyo: Polis Okinawa kini berdepan cabaran untuk menghentikan kegiatan ‘rojo-ne’ atau tidur di atas jalan raya.

Tindakan yang sebahagian besarnya membabitkan individu mabuk itu menimbulkan kebimbangan masyarakat.

Ia mengundang bahaya terutama kepada pengguna jalan raya yang memandu kenderaan pada malam atau lewat pagi.

Oddity Central melaporkan, kegiatan itu dilaporkan semakin menjadi-jadi dengan 7,000 kes berkenaan direkodkan di wilayah itu pada tahun lalu.

Lebih memburukkan keadaan apabila kegiatan itu menyebabkan ada nyawa yang terkorban.

Dalam pada itu, pihak berkuasa sudah mengambil beberapa langkah untuk mengekang aktiviti berkenaan.

Ia termasuk menguatkuasakan denda hingga 50,000 yen (kira-kira RM1,983) kepada individu yang melakukan perbuatan itu.

Selain itu, gambar mereka dipamer kepada umum untuk memberi pengajaran kepada masyarakat.

Malangnya, amaran itu tidak diendahkan, sebaliknya keadaan menjadi bertambah buruk apabila kes dilaporkan meningkat.

Ketua Polis wilayah, Tadataka Miyazawa berkata, beliau beranggapan hanya wilayah itu merekodkan kes rojo-ne.

“Saya sendiri tidak tahu istilah rojo-ne sehingga datang ke Okinawa dan menyifatkan ia satu fenomena yang aneh di sini,” katanya.

Menurut laporan media tempatan, rata-rata individu terbabit dengan selamba tidur di atas jalan raya.

Lebih teruk lagi, ada wanita tanpa segan silu tidur di atas jalan raya dalam keadaan tidak berpakaian.