Polis siasat Mohd Khairuddin

KETUA Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali selepas gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki, pada 7 Julai lalu.

“Polis telah membuka fail siasatan terhadap kes ini,” katanya dalam jawapan ringkas menerusi aplikasi Whatsapp kepada Bernama TV hari ini.

Menurut Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, 27 laporan polis diterima berhubung perkara berkenaan setakat ini.

“Pihak polis melakukan siasatan terhadap Mohd Kharuddin mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Semalam Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan media memaklumkan kementerian itu mengenakan kompaun RM1,000 terhadap Mohd Khairuddin pada 7 Ogos lalu, atas kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Mohd Khairuddin menjelaskan kompaun itu.

Mohd Khairuddin dilaporkan pulang dari Turki pada 7 Julai dan sampel nasopharyngeal swab kali pertama telah diambil pada hari yang sama dan didapati negatif. Ujian saringan Covid-19 kali kedua dan ketiga juga menunjukkan keputusan negatif.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mendakwa, Mohd Khairuddin tidak menjalani kuarantin 14 hari selepas pulang daripada kunjungan ke Turki.

Ekoran itu, Mohd Khairuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat PAS dikritik banyak pihak kerana tidak mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa, khasnya mengingkari arahan kuarantin bagi mana-mana warganegara Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara.

Dalam satu kenyataan berasingan semalam, Mohd Khairuddin pula memberitahu beliau akan memulangkan gaji sebagai menteri bagi Mei hingga Ogos, sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung COVID-19).

Berita berkaitan:

  • ‘Kadar kompaun terhadap Khairuddin had maksimum’
  • Khairuddin mohon maaf, pulangkan gaji
  • Menteri dah kena kompaun: KKM
  • Air mata ‘Makcik gelang pink’
  • Makcik gelang pink dijel sehari, denda RM8,000 [METROTV]