Premis sukan boleh beroperasi hingga 2 pagi [METROTV]

Kuala Lumpur: Waktu operasi premis sukan seperti penyedia futsal kini dilanjutkan sehingga 2 pagi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebelum ini waktu operasi premis berkenaan ditetapkan sehingga 12 tengah malam sahaja.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas hari ini selepas menerima banyak aduan pemilik premis kerana waktu operasi terhad.

“Baru-baru ini saya ada umumkan berkenaan perlanjutan waktu operasi kedai makan dan kedai serbaneka.

“Jadi ada yang mengadu terutama penyedia-penyedia premis yang memaklumkan pelanggan mereka biasanya datang selepas waktu Maghrib dan Isyak.

“Atas dasar itu mesyuarat khas hari ini memutuskan waktu operasi penyedia premis sukan dilanjutkan sehingga 2 pagi,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Pada 10 September lalu, waktu operasi kedai makan dan kedai serbaneka kini dilanjutkan sehingga jam 2 pagi.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Sebelum ini waktu operasi premis perniagaan termasuk kedai makan dan kedai serbaneka ditetapkan sehingga jam 12 tengah malam sahaja.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa bermula Mac lalu, kedai makan hanya boleh menjual makanan secara bawa pulang sahaja dan pelanggan tidak dibenar makan di kedai.

Apabila, PKP Pemulihan dikuatkuasa pada Jun, kedai makan dan serbaneka serta premis penyedia sukan dibenarkan beroperasi sehingga 12 tengah malam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan