PRK Slim: BN menang besar [Tidak Rasmi]

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengesahkan setakat 7.45 malam ini, calon BN, Mohd Zaidi Aziz mendahului Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Slim dengan memperoleh majoriti 9,491.

Berdasarkan portal rasmi SPR, keputusan tidak rasmi menunjukkan Mohd Zaidi memperoleh keseluruhan 11,352 undi, manakala calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi beroleh 1,861 undi dan seorang lagi calon Bebas, S Sentharasekaran hanya mendapat 242 undi.

Terdahulu, setakat 3 petang, SPR memaklumkan sebanyak 60 peratus daripada 22,749 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab itu di 12 pusat mengundi Dun itu yang dibuka bermula 8 pagi sehingga 5.30 petang hari ini.

PRK Dun Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Mohd Zaidi, 43, dan dua calon Bebas iaitu peguam Amir Khusyairi, 38, yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) serta bekas guru, Sentharasekaran, 44.

PRK Dun Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, yang juga Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, 15 Julai lalu akibat serangan jantung.

Mohd Khusairi dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-11 pada 2004.

Pada PRU-14, beliau mempertahankan kerusi dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

  • Lagi berita berkaitan PRK Slim