PRN Sabah: Gabungan Rakyat Sabah nama rasmi kerjasama PN

Tuaran: Perdana Menteri mengumumkan gabungan parti yang disertai Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) akan dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, nama gabungan itu digunakan secara rasmi selepas 26 September ini apabila berjaya membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Katanya, gabungan itu akan bekerja sebagai satu pasukan untuk membentuk satu kerajaan baharu yang sama-sama berjuang untuk memajukan Sabah.

“Semalam kita duduk bersama parti yang sudah sepakat berjuang untuk rakyat Sabah yang kita bela dan majukan. Saya nak umumkan bahawa keputusan dicapai untuk menamakan gabungan parti yang akan bersama perjuangan Pusat iaitu Gabungan Rakyat Sabah.

“Kami semua bersatu hati untuk bekerja sama-sama membentuk kerajaan selepas 26 September ini. Dalam gabungan ini pertamanya adalah PN bersama BN dan PBS,” katanya ketika berucap di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tuaran, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor dan Ketua Umno Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Perdana Menteri berada di Tuaran bagi memberi semangat kepada calon PN Dun Sulaman sambil melakukan tinjauan mesra di pekan ini.

Muhyiddin berkata, setiap parti dalam gabungan itu perlu mengenepikan perselisihan atau perasaan lama yang boleh menjejaskan gabungan itu.

“Kita perlu saling membantu antara satu sama lain, kita mesti bekerjasama dengan Umno, PBS, Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan MCA.

“Jadi maknanya gabungan parti ini sudah satu hati kerana tidak mungkin boleh membentuk kerajaan kalau PN saja menang. Gabungan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah sajalah yang boleh membentuk kerajaan yang kuat di Sabah.

“Tujuannya tidak lain tidak bukan supaya Sabah ini kita bangunkan lebih pesat lagi. Kalau Sabah dipimpin oleh gabungan ini tentu jauh lebih hebat berbanding Parti Warisan Sabah (Warisan),” katanya.

Beliau berkata, tiada parti lain dapat menandingi gabungan itu selagi PN mentadbir kerajaan Pusat yang dipimpinnya.

Sehubungan itu, katanya Sabah juga mesti diperintah oleh kerajaan yang sama.

“Ini kerana masih banyak usaha kita perlu dilakukan. Pembangunan memang sudah banyak tetapi belum cukup dan perlu diperelokkan lagi,” katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah