PRN Sabah: Lebih 100 individu miliki dua kerakyatan dihalau

Papar: Lebih 100 individu disyaki memiliki dua kerakyatan yang cuba pulang untuk mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) dihalau keluar daripada memasuki perairan Sabah, kelmarin.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, individu terbabit menaiki dua bot jongkong dan dua bot laju dikesan cuba memasuki perairan negara melalui sempadan laut di Sandakan.

“Kita terpaksa menghalang mereka kerana melalui jalan yang tidak sah, bukan menafikan hak mereka untuk mengundi tetapi cara mereka masuk tidak betul dan kita perlu halang.

“Kita percaya mereka mempunyai dua dokumen atau dwi kerakyatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, hari ini.

Hazani berkata, halangan itu juga dilakukan bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

“Sepatutnya mereka menggunakan laluan sah dan perlu (menjalani) pemeriksaan kesihatan.

“Tetapi mereka menggunakan jalan belakang (tidak sah) dan kita perlu menghalang mereka bagi mengelak sebarang penularan wabak Covid-19 dalam masyarakat di Sabah,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan proses pengundi PRN, Hazani berkata, setakat ini tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan keadaan tenang serta terkawal di semua pusat-pusat mengundi.

“Sepanjang tempoh kempen yang berakhir tengah malam tadi, polis menerima 193 laporan yang dibuat pelbagai pihak.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 58 kertas siasatan dibuka dan kebanyakan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.