PRN Sabah: PN, BN, PBS bertembung di 11 kerusi

Kota Kinabalu: Sebanyak 11 kerusi ditandingi Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menyaksikan pertembungan sesama sendiri selepas semua parti mengumumkan senarai calon dan kerusi masing-masing, semalam.

Secara keseluruhan, seramai 84 calon bakal bertanding mewakili BN, PN dan PBS untuk merebut 73 kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September ini.

BN bertanding paling banyak kerusi dengan 40 kawasan, masing-masing 31 ditandingi Umno, diikuti lima oleh Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan empat MCA.

PN pula bertanding di 29 kerusi, masing-masing 19 Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), diikuti lapan oleh Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan dua Parti Maju Sabah (SAPP).

PBS, satu-satunya parti yang hanya menjadi penyokong PN pula bertanding di 15 kerusi.

Berdasarkan semakan, kerusi ditandingi PBS paling banyak bertembung dengan rakan parti lain.

Calon parti itu bertembung dengan calon Umno di Bengkoka, Tanjung Aru dan Telupid, manakala bertembung dengan PBRS di Matunggong, Tandek dan Kadamaian selain bertembung dengan calon MCA di Kapayan dan Karamunting.

Selain itu, calon Umno turut bertembung dengan calon Star di Paginatan, manakala PBRS bertembung dengan Star di Sook dan Tulid.

Ketika mengulas isu pertembungan sesama parti itu, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor, menyatakan ia tidak sepatutnya berlaku dan wajar diselesaikan sebelum hari penamaan calon.

Dalam sidang media pengumuman calon PN, semalam, Hajiji menekankan, mereka sebolehnya tidak mahu bertembung kerana misi utama gabungan BN, PN dan PBS adalah untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah.

“Kalau bertembung, salah satu daripada calon, sama ada PN atau BN perlu menarik diri. Masih ada masa untuk runding sebelum penamaan calon,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MCA Sabah, Lu Yen Tung berkata, pihaknya memang menyedari kemungkinan berlaku pertindihan kerusi khususnya dengan PBS.

“Kami ada berbincang dengan PBS dan PBRS, Umno dan lain-lain minggu lalu, kami bincang dan menekankan bahawa kerusi seperti Kapayan adalah kerusi tradisi MCA tetapi PBS tetap juga mahu letak calon,” katanya.

Kerusi ditandingi MCA bertindih dengan PBS di Kapayan dan Karamunting.

  • Lagi berita berkaitan PRN Sabah