Profesor sejarah bunuh pelajar kesayangan

St Petersburg: Ahli sejarah terkenal Rusia, Oleg Sokolov dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun lima bulan oleh sebuah mahkamah di sini, selepas didapati bersalah membunuh bekas teman wanitanya yang berusia 24 tahun.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan Sokolov, 64, yang juga bekas profesor sejarah di Universiti Negeri St Petersburg ditemui di sungai pada November tahun lalu dengan beg berisi lengan milik Anastasia Yeshchenko yang juga penuntut kesayangannya di peringkat pasca siswazah.

Sokolov mengaku bersalah atas kesalahannya, tetapi memberitahu hakim perbuatan itu bukan dirancang sebaliknya didorong oleh perasaan marah selepas mangsa meninggalkan komen berbaur penghinaan terhadap anaknya yang juga hasil perkahwinan dengan pasangan terdahulu.

Pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun.

Namun, Sokolov memberitahu beliau sudah terseksa oleh jenayah dilakukannya itu dan meminta hukuman yang lebih ringan.

Ketika menjatuhkan keputusan, hakim memaklumkan Sokolov menembak Yeshchenko empat kali dengan senapang sebelum memotong lengan mangsa dengan pisau dan gergaji.

Lelaki itu kemudiannya memasukkan bahagian badan mangsa ke dalam beg dan membuangnya di Sungai Moyka di St Petersburg.

Dia turut membuang telefon bimbitnya di sungai berhampiran rumahnya dan ditangkap selepas cuba menenggelamkan lengan mangsa yang timbul di permukaan air.

Selain membunuh, Sokolov didapati bersalah kerana memiliki senjata api.

Peguam bela Sokolov, Sergei Lukyanov memaklumkan pihaknya mempertimbangkan untuk mengemukakan permohonan bagi merayu keputusan kes itu,

Ibu bapa Yeshchenko juga menghadiri perbicaraan dan peguam mereka Alexandra Baksheyeva memberitahu pemberita yang anak guamnya menghormati keputusan hakim dan tiada hasrat memohon hukuman lebih berat.

Sokolov adalah seorang pakar mengenai Napoleon Bonaparte dan dianugerahkan pingat kebesaran tertinggi oleh Kerajaan Perancis iaitu Legion of Honor.