Projek baru awie, search

LIMA bulan mendiamkan diri tanpa aktiviti akibat pandemik Covid-19, Datuk Awie dan anggota kumpulan rock legenda, Search kini tampil dengan projek terbaru mereka iaitu Konsert Cinta Buatan Malaysia Search & Awie #Apologia.

Memandangkan gagal mementaskan Konsert Apologia di The Bee, Publika pada 28 Mac lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka ia disatukan dalam konsert yang pastinya mampu meninggalkan kenangan terbaik buat penonton yang hadir menyaksikannya nanti.

Kali ini skalanya lebih besar apabila penganjur bersama, Imaginex & HS Shazlicious Trading memilih Stadium Malawati, Shah Alam sebagai lokasi konsert itu pada 12 Disember nanti.

Awie berkata, dia bersama Nasir (bass), Kid (gitar), Din (gitar) dan Pae (dram) bersyukur kerana masih dapat meneruskan kelangsungan hidup dalam bidang seni.

“Alhamdulillah, kini segala kerja tergendala dapat dilakukan kembali dan kehidupan harus diteruskan. Saya terfikir juga, kalau kami nak teruskan persembahan yang kecil, adalah sangat rugi.

“Jadi, selepas beberapa siri perbincangan diadakan, kami akhirnya buat keputusan melakukan rombakan dengan apa yang ada sekarang.

“Lokasi pula lebih besar lagi. Itu pun selepas saya dapat pengalaman pertama buat konsert Wings Kita Merdeka baru-baru ini,” katanya.

Menurut Awie, yang pasti mereka tetap bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan hospital-hospital.

“Perkara yang sama akan terus kita buat untuk memastikan penonton yang datang itu selamat. Kami akan ikut semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Konsert ini pada saya adalah persembahan penutup 2020 yang terbesar. Justeru, ia harus direalisasikan dengan sebaik mungkin

“Jadi, kami buka kepada penyokong-penyokong saya dan Search untuk datang menaja konsert ini. Kami juga akan beri komisen kepada mereka yang bawa masuk penaja.

“Nama pun dah Konsert Cinta Buatan Malaysia, jadi produk-produk jenama tempatan yang terlalu banyak di pasaran, akan terpancar di seluruh dunia jika usaha kami untuk mengadakannya secara maya dalam talian (streaming) terlaksana,” katanya.

Awie berkata, dia bersama Search akan beraksi dalam persembahan sekitar satu jam setengah dan dijangka menyanyikan antara 15 hingga 18 lagu kepada penonton.

“Kalau kami berniat nak bagi hadiah kepada penonton yang hadir, mungkin kami akan mainkan lagu lebih daripada itu.

“Saya adalah pembeli kaset album Cinta Buatan Malaysia dan tahu semua lagu-lagu yang ada itu menghidupkan nyawa Search. Jadi, saya nak menyanyikannya semula.

“Semestinya, saya akan mendendangkan lagu-lagu popular Search iaitu Cinta Sepi, Kejora, Isi dan Kulit, Cinta Buatan Malaysia dan banyak lagi.

Tiada sebab nak putus kawan

Ditanya sekiranya pembabitan dalam konsert ini bakal memutuskan hubungan baiknya dengan beberapa pihak, Awie berkata ia takkan berlaku.

“Jangan kerana projek ini kita putus kawan. Banyak lagi projek lain yang akan kita buat. Buat apa nak putuskan kawan kerana ini projek yang mendatangkan rezeki kepada mereka yang terbabit.

“Saya hanya berniat mahu membantu anggota Search yang sudah dianggap sebagai abang-abang saya dalam industri ini.

“Saya juga tak pernah terfikir menggantikan tempat Amy. Saya masih ada Wings. Saya setia kerana saya yang tubuhkan Wings,” katanya yang pernah bergabung dengan Search untuk album projek istimewa berjudul Bikin Wilayah pada 1998.

Sementara itu, Nasir pula berkata apabila berpindah ke lokasi yang besar, mereka bersetuju memilih nama Konsert Cinta Buatan Malaysia Search & Awie #Apologia.

“Lagu Cinta Buatan Malaysia begitu membawa makna yang tersirat. Kalau tengok pada bait-bait liriknya, ia mengajar kita untuk menjaga perhubungan antara sesama manusia dan Tuhan.

“Bahkan, ia juga sebagai cara untuk ‘refresh’ album pertama Search kerana sekitar tiga bulan lagi, Search akan berusia 40 tahun.

“Walaupun album ini dipasarkan pada 1985, ia adalah album kami yang memuatkan banyak lagu-lagu hits dan diminati ramai,” katanya.

Menurut Nasir lagi, mereka yakin dapat menarik peminat menyaksikan konsert ini apabila mendapat kerjasama baik Awie

“Tapi tidaklah sampai 10,000 atau 20,000 peminat kerana perlu akur dengan SOP. Kami hanya dapat mengumpul jumlah maksimum 3,000 penonton sahaja.

“Awie pula seorang penyanyi yang hebat. Walaupun dalam latihan, dia berikan persembahan maksimum. Inilah peluang untuk peminat tengok konsert mantap kami.

“Sebenarnya, Search dan Awie pernah buat Konsert Bikin Wilayah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 1998 dan sambutannya hebat,” katanya.

Ditanya berkenaan hubungan dengan Amy, Nasir berkata, situasinya sama. Ujarnya, tiada apa yang perlu diulas lebih lanjut

“Setakat ini macam itu juga. Tiada berita. Saya ada menghubunginya selepas dia buat pengumuman keluar Search tapi tak dijawab.

“Bukan soal kami bermusuh, tapi dia yang menyepikan diri. Mungkin juga, dia masih belum bersedia untuk bercakap,” katanya.

Sehubungan itu, tiket untuk Konsert Cinta Buatan Malaysia Search & Awie #Apologia berharga RM399, RM299, RM199, RM99 dan Rm1000 (VVIP).