Pulau Pinang benar solat Aidilfitri di rumah

UMAT Islam di Pulau Pinang boleh menunaikan solat sunat Aidilfitri di rumah masing-masing tanpa atau dengan khutbah mengikut kemampuan dan kesesuaian.

Ia adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang ditetapkan semalam, mengenai garis panduan sambutan Hari Raya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mufti negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Fatwa, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, solat berjemaah boleh dilakukan tetapi hanya membabitkan ahli keluarga di rumah saja.

Katanya, bagi petugas yang diamanahkan di masjid dan surau, mereka boleh melaksanakan solat sunat Aidilfitri tertakluk kepada pekeliling dan arahan ditetapkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP).

“Bagi ahli keluarga yang baru sembuh daripada Covid-19 atau perlu kuarantin di rumah, mereka tidak dibenarkan menyertai solat sunat berjemaah itu, namun boleh menunaikannya secara bersendirian.

“Pesakit dan petugas di hospital pula dibenar melaksanakan solat sunat Aidilfitri mengikut arahan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya kepada NSTP, di sini.

Wan Salim berkata, takbir hari raya di masjid dan surau hanya boleh dilaksanakan oleh imam, bilal dan siak saja dengan menggunakan rakaman.

Manakala takbir pada malam raya dari rumah ke rumah adalah tidak dibenarkan.

“Namun digalakkan setiap keluarga melaungkan takbir hari raya di rumah masing-masing sehingga sebelum solat sunat hari raya dilaksanakan,” katanya lagi.