‘Rabak’ poket kalau lari

JIKA ternyata tonggak skuad Tok Gajah Mohamadou Sumareh melanggar syarat kontrak, dia bukan saja berdepan tindakan disiplin namun lebih buruk lagi perlu membayar ganti rugi sebulan gaji dan menjelaskan bayaran baki kontrak kepada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) yang dianggarkan mencecah hampir RM1 juta.

Difahamkan gaji pemain naturalisasi pertama negara itu dianggarkan antara AS$ 15,000 hingga 20,000 iaitu bersamaan RM60,000 hingga RM80,000 sebulan.

Mengikut maklumat daripada pengurusan PBNP, Sumareh sebenarnya mempunyai baki kontrak sehingga 2022 sekali gus perlu membayar jumlah berkenaan jika didapati melanggar perjanjian yang sudah dipersetujui bersama.

Mengulas lebih lanjut berkaitan perkara itu, Pengamal Undang-Undang Sukan Nik Erman Nik Roseli berkata, tindakan terbabit boleh dikenakan terhadap Sumareh selepas majikannya sudah menghantar surat peringatan, mengambil tindakan disiplin atau denda terhadap kesalahan tidak hadir menjalani latihan bersama skuad Tok Gajah.

Beliau berkata, setiap hukuman atau tindakan daripada majikan perlulah berpaksikan kepada terma kontrak yang ditandatangani bersama pemain sebelum tindakan lebih berat boleh diambil terhadap individu berkenaan.

“Kebiasaannya majikan perlu menghantar surat kepada pemain berkenaan bagi mengetahui punca sebenar dia gagal mematuhi syarat kontrak termasuk tidak hadir menjalani latihan lebih sebulan.

“Tindakan seterusnya boleh diambil iaitu menerusi denda atau perkara lain namun majikan juga ada hak untuk meminta pemain membayar sebulan gaji dan menjelaskan semua baki kontrak apabila melihat ada perlanggaran terma yang dipersetujui sebelum ini,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sementara itu, Pakar Perundangan Sukan, Richard Wee berkata, antara kemungkinan hukuman yang boleh dikenakan oleh Sumareh adalah diturunkan ‘pangkat’ dengan beraksi bersama pasukan kedua atau skuad pembangunan.

Beliau berkata, bentuk hukuman yang boleh dikenakan oleh majikan terhadap pemain itu adalah subjektif dan bergantung kepada terma kontrak yang sudah persetujui bersama.

Arena Metro sebelum ini melaporkan pemain naturalisasi pertama negara itu tidak lagi kelihatan menjalani latihan bersama skuad Tok Gajah sejak sebulan lalu sekali gus mencetuskan persoalan ke mana ‘menghilangnya’ Sumareh.

Perkara terbabit menjadi lebih hangat selepas tonggak utama Johor Darul Ta’zim (JDT) Safawi Rasid akan berkelana ke Portimonense SC sekali gus melihat kemungkinan Sumareh akan menggantikan posisi yang ditinggalkan pemain terbabit nanti.

Malah, desas desus Sumareh akan berpindah ke JDT sudah lama bertiup kencang terutama selepas bekas rakan sepasukannya Matthiew Davies turut berubah angin ke pasukan selatan tanah air itu.