‘Rahman’ buat Yusuf dikenali

ADA segelintir peminat yang menganggap watak Rahman lakonan Yusuf Bahrin lebih menyerlah berbanding Rizal (Kamal Adli) menerusi drama Perempuan Tanpa Dosa (PTD) yang menutup tirai, Isnin lalu.

Sememangnya itu hak masing-masing dan setiap individu bebas membuat pilihan sendiri.

Bagaimanapun, realitinya ia berjaya menonjolkan nama Yusuf Bahrin sebagai bintang baharu industri hiburan tanah air.

Yusuf, 28, atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf Bahrin mula berlakon sejak hujung 2018 memegang watak pembantu menerusi beberapa drama seperti Cik Reen Encik Ngok Ngek Raya, Calon Menantu Tuan Rumah, Sweet Dreams, Kau Yang Pertama dan Satukan Rasa.

“Orang mula pandang saya menerusi watak Dr Amar dalam Sweet Dreams arahan Michael Ang. Banyak ilmu yang diperoleh apabila bekerja dengannya. Menerusi PTD saya sekali lagi berlakon bawah arahan Michael dan kami dapat membentuk keserasian bersama. Alhamdulillah ramai yang suka kerana watak Rahman yang baik. Saya pun berusaha memberikan yang terbaik dan menjadi,” katanya.

Menurutnya, hasil usaha keras serta berkat doa ibu bapa antara punca kejayaannya dalam drama ini.

“Ikutkan apa yang dibuat tak berapa baik dan masih banyak kelemahan. Tapi saya berpuas hati dan peminat juga berpuas hati. Itu yang paling penting.

YUSUF akan menjalani penggambaran untuk dua telefilem selepas berlakon dalam drama Perempuan Tanpa Dosa.
YUSUF akan menjalani penggambaran untuk dua telefilem selepas berlakon dalam drama Perempuan Tanpa Dosa.

“Saya juga berterima kasih dengan semua pelakon terutama Kamal, Uqasha, Azza Elite dan ramai lagi pelakon-pelakon senior yang saya berlakon sebelum ini kerana banyak beri tunjuk ajar. Alhamdulillah, dengan ilmu yang diberikan, nampak ada perubahan dalam lakonan saya,” katanya.

Yusuf yang berazam untuk terus memberikan lakonan terbaik, gembira kerana tawaran berlakon untuknya sentiasa ada.

“Selepas selesai PTD saya ada penggambaran untuk dua telefilem iaitu genre seram untuk Astro Citra dan romantik komedi untuk Naura. Terbaharu, saya ditawarkan membintangi dua drama iaitu untuk slot Samarinda dan Akasia. Saya juga akan berlakon filem pertama yang akan memulakan penggambaran dalam masa terdekat,” katanya.

Menurutnya, pemilihannya dibuat oleh penerbit tetapi dia tetap melalui uji bakat untuk memastikan boleh membawa watak yang diberikan.

“Saya hanya menunggu masa untuk penggambaran. Perasaan teruja memang ada untuk berlakon filem,” katanya.

Yusuf tidak menafikan populariti yang dikecapi menerusi PTD membuat dirinya semakin dikenali ramai peminat.

“Dah tentu saya gembira dengan kewujudan saya. Insya-Allah saya akan terus buat yang terbaik dalam karier. Secara tak langsung, jumlah pengikut saya di media sosial juga meningkat. Banyak perbezaan kehidupan sekarang berbanding dahulu. Pergi ke mana-mana pun orang tetap kenal walaupun pakai pelitup muka. Bagaimanapun saya tak mudah lupa diri dan tetap seperti dulu,” katanya.

SEDIA terima apa-apa tawaran bintangi genre aksi yang jadi impiannya.
SEDIA terima apa-apa tawaran bintangi genre aksi yang jadi impiannya.

Ditanya watak dan cerita yang diidamkan selepas ini, anak sulung daripada empat beradik ini berkata, dia teringin membintangi genre aksi.

“Saya nak sangat berlakon cerita aksi. Kalau saya ditawarkan untuk berlakon mana-mana cerita begini, saya akan terima. Ini impian saya,” katanya.

Tidak ramai yang tahu, Yusuf pernah mengusahakan kedai gunting rambut di Melaka selama dua tahun sebelum menceburi bidang lakonan.

Bagaimanapun dia meninggalkan perniagaan buat sementara waktu bagi menumpukan perhatian pada lakonan.

“Saya masih dalam perancangan untuk mulakan balik perniagaan. Insya-Allah jika tiada apa-apa halangan, saya akan buka perniagaan kecil-kecilan tahun depan. Yang boleh diberitahu ialah saya akan terbabit dengan perniagaan berkaitan pertanian,” katanya.