‘Rahmat tersembunyi’

NAMA Adira sudah sinonim dengan jolokan Ratu Soundtrak selepas kebanyakan single yang dihasilkan dipilih menjadi lagu tema bagi drama dan filem tempatan.

Lebih menarik, lagu itu juga berjaya mendapat perhatian seiring dengan populariti yang diraih filem dan drama terbabit.

Terbaharu, Adira, 29, atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi muncul dengan single Kesempatan Bagimu yang juga menjadi lagu tema bagi drama Tercipta Satu Ikatan dan bakal ditayangkan pada 29 Disember ini.

Lagu terbitan Nova Music Malaysia yang menampilkan komposer Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh serta lirik oleh Ikhwan Fatanna

bersama Arisz Abd Rahman tetap memberikan cabaran tersendiri buat Adira biarpun sudah biasa menyanyikan genre balada.

ADIRA ketika menjalani penggambaran video muzik lagu Kesempatan Bagimu.
ADIRA ketika menjalani penggambaran video muzik lagu Kesempatan Bagimu.

Bagi Adira yang juga ibu kepada tiga cahaya mata iaitu Anggrek, 3, Asan, 2 dan Anggun, 7 bulan, menyifatkan pemilihannya sebagai penyanyi untuk sesebuah filem atau drama adalah rezeki.

“Bagi saya ini semua rahmat tersembunyi dengan rezeki yang dikurniakan Allah sehingga kini apabila masih menjadi pilihan menyanyikan lagu runut bunyi untuk drama TV. Walaupun pernah terdetik rasa bimbang orang jemu, saya percaya ini adalah perancangan terbaik untuk saya.

“Di saat ramai bakat baharu dan yang sedia ada bersaing di pasaran muzik dan berlumba-lumba untuk menempatkan lagu mereka, rezeki saya pula pada bahagian ini. Jadi, saya melihat ini semua dari sudut positif sekali gus jadi penghormatan peribadi buat diri sendiri.

“Tahun ini saja sudah dua lagu runut bunyi saya nyanyikan. Sebelum ini, saya menyanyikan lagu Maaf untuk drama Maaf Tak Indah yang menghiasi slot Samarinda TV3 pada Februari lalu,” katanya.

Buah tangan terbaharu Adira itu siap dirakam bulan lalu. Ia juga menjadikan kerjasama keempat Adira dengan Ikhwan Fatanna.

Lagu itu juga menjadi single solo ketiga kerjasama Adira bersama Nova Music selepas lagu hit Pujaan Hati dan Maaf.

“Sebelum lagu Kesempatan Bagimu, saya terlebih dahulu mencipta keserasian dengan lagu karya Ikhwan Fatanna sepert

i Pujaan Hati, Takdir Tercipta dan Maaf. Saya juga secara peribadi senang bekerjasama dengannya

“Lagu baharu ini pun dirakam tanpa ambil masa yang panjang. Selain sudah faham rentak kerja dengan komposer, saya juga sudah dapat lagu ini lebih awal untuk berlatih bagi memahami melodi dan lirik.

“Kebetulan lagu ini pun berentak balada seperti yang sebelumnya. Tidak dinafikan jiwa ini lebih terarah menyanyikan lagu berentak balada dan melankonlik. Mungkin juga dalam ketegasan diri ini, kelembutan jiwa itu masih terserlah,” katanya.

DIPILIH nyanyi lagu runut bunyi juga peluang promosi untuk kekal relevan.
DIPILIH nyanyi lagu runut bunyi juga peluang promosi untuk kekal relevan.

Adira yang juga pemenang tempat kedua program Akademi Fantasia musim kelapan berkata, dia secara peribadi tidak menganggap gelaran Ratu Soundtrack sebagai perkara membebankan sebaliknya menjadi nilai tambah dalam kerjayanya.

“Kalau ada yang suka dengan lagu nyanyian saya melatari drama di kaca TV itu sudah cukup bagus. Lagu soundtrack ini menyuntik dan menjentik emosi penonton. Jika ada yang terus memberikan gelaran Ratu Soundtrack kepada saya, saya okey saja.

“Saya bersyukur dengan pengiktirafan sebegitu. Apabila difikir daripada skop yang lebih luas, ia semua peluang dan rezeki untuk saya kekal relevan di persada seni.

“Untung apabila lagu dipilih jadi runut bunyi kerana dalam tempoh siaran drama itu di kaca TV atau pelantar digital, ia akan terus dimainkan dan secara tak langsung akan cepat diingati. Jadi, selain radio dan laman maya, TV juga menjadi ruang promosi yang baik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Adira kini menceburi perniagaan menjual barangan ‘bundle’ dan vintaj sejak awal tahun ini.

“Saya selesa mencuba nasib dalam bidang baharu ini. Malah, kemungkinan saya akan buat siaran langsung menjual barang di laman sosial. Tak perlu malu pun, janji rezeki halal. Tak kisahlah siapa pun kita.

“Saat kita diuji dengan pandemik Covid-19 ini, ramai yang terkesan dan membabitkan diri dengan pelbagai perniagaan alternatif untuk bangkit semula meneruskan kehidupan,” katanya.