Rakam lagu nasihat

PELUANG untuk bekerja dari rumah digunakan sebaik mungkin oleh pelakon dan penyanyi, Alvin Chong sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikeluarkan oleh kerajaan.

Salah satu aktivitinya adalah berkolaborasi dengan 16 penyanyi lain yang bernaung di bawah label Universal Music Malaysia menyampaikan lagu berjudul #JANGANKELUAR hasil ciptaan Yonnyboii.

“Pertama kali diberikan lagu ini, saya terus rasa tertarik kerana ia adalah genre yang saya suka. Saya dapat lihat lagu ini adalah satu karya seni yang coraknya takkan lari jauh dengan lagu saya yang akan datang.

“Secara ringkasnya, #JANGANKELUAR berkisar mengenai nasihat kepada masyarakat supaya patuh PKP dan tidak keluar rumah sepanjang tempoh ditetapkan, katanya.

Bercerita lanjut mengenai lagu baru itu, Alvin berkata, liriknya sangat sesuai dengan kehendak peminat muda.

“Lagu ini ada satu bunyi yang sangat segar dan saya yakin ia sangat sesuai dengan kehendak peminat muzik hari ini yang rata-rata terdiri daripada generasi baru.

“Jadi, menerusi lagu ini saya harap seluruh masyarakat akan faham mengenai PKP, sekatan jalan raya yang diwujudkan dan sebagainya. Semoga liriknya menyentuh hati semua lapisan masyarakat, katanya.

Alvin juga berkata, satu cabaran baru buatnya untuk merakamkan lagu itu memandangkan semua artis yang terbabit perlu membuat proses rakaman sendiri di rumah.

ALVIN menyeru masyarakat supaya tidak sebar aura negatif dalam situasi getir.
ALVIN menyeru masyarakat supaya tidak sebar aura negatif dalam situasi getir.

“Saya tak ada set studio yang lengkap di rumah. Jadi, sedikit mencabar buat saya untuk merakamkan lagu ini. Saya cari satu sudut yang tak terlalu bersepah dan jadikan tempat untuk saya rakamkan video.

“Semuanya berjalan lancar dan dalam masa sehari saja dah berjaya siapkan untuk bahagian saya, katanya.

Selain Alvin, #JANGANKELUAR juga membariskan 16 artis lain antaranya, Hafiz Hamidun, Rabbit Mac, Shalma Eliana, Sophia Liana, Yonnyboii dan Bella Astillah.

Turut serta, Luca Sickta, Kmy Kmo, Tuju, Kowachee, ASYRFNSIR, Abubakarxli, Siqma, Dolla dan Malik Abdullah.

Ditanya aktiviti lain sepanjang berada di rumah, Alvin berkata, dia juga meneroka bakat baru dalam dirinya iaitu memasak.

“Bila banyak masa di rumah, saya suka belajar benda baru seperti memasak dan membersihkan rumah. Ada juga resipi mudah yang saya cuba dan kebanyakannya resipi yang direka sendiri, katanya.

CABARAN buat proses rakaman sendiri di rumah.
CABARAN buat proses rakaman sendiri di rumah.

Jangan sebar aura negatif

Berkongsi mengenai PKP, Alvin menyeru masyarakat supaya tidak menyebarkan aura negatif dalam situasi sebegini.

“Kalau boleh, jangan kita sebarkan perkara berunsur negatif dalam situasi sekarangi. Ada sesetengah artis juga saya nampak cuba mengambil kesempatan dalam situasi mencabar ini.

“Dalam waktu begini, kita sepatutnya bersatu padu dan membantu orang lain. Kalau kita tak dapat nak bantu, jangan timbulkan sebarang masalah sesama kita, katanya.

Dalam situasi sekarang, Alvin juga sentiasa melihat kemunculan wabak Covid-19 ini dari satu sudut positif.

“Covid-19 adalah satu penyakit, namun kalau kita lihat dari sudut yang lebih positif, sebenarnya ada beberapa kebaikan yang muncul daripadanya.

“Sekarang, tak banyak isu berkaitan perkauman yang kita nampak di media sosial kerana semua orang bertungkus-lumus dan bersatu padu untuk memerangi Covid-19, katanya.

Tambahnya lagi, dia berharap supaya selepas krisis ini tamat, kita semua menjadi rakyat Malaysia yang sejati.

“Harapnya, selepas ini kita semua jadi rakyat Malaysia yang sejati dan lebih menjiwai semangat kenegaraan. Harapan saya juga, semoga semangat ini berterusan.

“Saya juga berharap supaya krisis ini berakhir secepat mungkin untuk melancarkan perjalanan kehidupan kita, terutama bagi rakan-rakan saya yang beragama Islam kerana dah nak masuk Ramadan dan Aidilfitri, katanya.