Ramadan pilu tanpa ibu

RAMADAN ini paling memberi kesan kepada seorang remaja di Kampung Baru, Lubok Stol, di sini yang menyambutnya tanpa ibu tersayang dan hanya menumpang kasih abang dan kakaknya.

Nur Adriana Syafiqah Mohd Hasnan, 13, berkata, ibunya, Suriani Mat Piah meninggal dunia pada 30 Mac lalu akibat komplikasi kencing manis, darah tinggi dan jantung.

Dia yang juga anak bongsu daripada enam beradik kini menetap bersama abang, Mohd Khairul Akimi, 27, yang sudah berkahwin dan bekerja buruh, kerana adik-beradik yang lain mencari rezeki di Kuala Lumpur.

“Ini Ramadan pertama saya tanpa ibu, tiada lagi kejutan sahur mahupun juadah berbuka air tangannya.

“Hari pertama yang lalu, saya sebak mengenangkan arwah ibu. Biasanya dialah yang paling sibuk menjelang waktu berbuka dan saya akan membantunya di dapur.

“Walau juadah berbuka kami tidak semewah orang lain, tapi saya bahagia kerana ibu ada. Kini hanya abang dan kakak sahaja tempat saya menumpang kasih,” katanya.

Nur Adriana yang juga anak angkat Thirdforce Rantau Panjang dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sejak tiga tahun lalu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang itu memberitahu, arwah ibu dan bapanya bercerai ketika dia masih kecil dan kehilangan wanita berkenaan, sekali gus menjadikannya seperti ‘yatim piatu’.