Ramadan sunyi

PENGANUT Islam di seluruh dunia menyambut kedatangan 1 Ramadan tahun ini dengan situasi berbeza apabila perlu menjalani perintah berkurung susulan penularan wabak Covid-19.

Di kebanyakan negara, amalan berbuka puasa bersama keluarga dan solat Tarawih berjemaah yang menjadi kelaziman terutama sepanjang bulan ini tidak dapat dilaksanakan.

Ramadan yang lazimnya disambut meriah oleh penganut Islam terutama di Asia, Timur Tengah dan utara Afrika juga lebih sunyi dengan sekatan pergerakan di negara berkenaan.

Di Indonesia, pertubuhan Islam menggesa umat Islam supaya mematuhi perintah berkurung.

“Ramadan kali ini amat berbeza, tidak semeriah seperti tahun sebelumnya,” kata seorang suri rumah, Fitria Famela.

Bagaimanapun, ada pertubuhan Islam di wilayah Aceh tidak mengendahkan arahan itu apabila ribuan orang menghadiri solat berjemaah di masjid, malam kelmarin.

Bagaimanapun, jumlah jemaah tahun ini menyaksikan penurunan.

“Saya tidak bimbang kerana saya memakai penutup mulut dan hidung,” kata Cut Fitrah Riskiah yang turut berjemaah di masjid.

Kerajaan Indonesia juga sudah tidak membenarkan mudik iaitu tradisi pulang ke kampung pada akhir Ramadan bagi mengekang penularan Covid-19.

Selain itu, kerajaan juga sudah meminda cuti umum perayaan Aidilfitri kepada Disember, dalam usaha mengekang penyebaran wabak berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19