Ramai beri semangat

NAMA penyanyi, Dr Hafiz Zainal tiba-tiba menjadi bualan hangat gara-gara mendapat dua markah daripada komposer, Ajai selaku juri tetap program realiti Big Stage musim ketiga.

Malah, markah yang diperoleh Hafiz yang juga doktor gigi itu dianggap keterlaluan sepanjang penganjuran program realiti berkenaan.

Bahkan, belum pernah lagi dalam sejarah penganjuran program realiti tempatan sejak lebih 15 tahun lalu ada peserta mendapat markah tercorot sebegitu.

Ramai beranggapan Ajai tidak sepatutnya ‘memalukan’ Hafiz selaku penyanyi yang masih mentah apatah lagi program itu baharu memasuki minggu pertama.

Biarpun Hafiz mendapat tempat ketiga pada pertandingan Bintang RTM 2018, tidak bermaksud komposer ternama itu perlu memberi ‘pengajaran’ dengan cara sebegitu rupa.

Di sebalik apa yang menimpa Hafiz, 28, atau nama sebenar Muhammad Hafiz Zainal ternyata ada hikmah buat dirinya apabila semakin mendapat tempias populariti.

“Sebenarnya, selepas turun pentas minggu pertama, saya terus dapat banyak notifikasi di telefon. Saya periksa juga banyak mesej peribadi (DM) yang masuk dengan memberikan kata-kata semangat. Sekurang-kurangnya terpujuk sikit hati.

“Bukan saja DM peminat, tetapi juga daripada beberapa rakan selebriti yang cukup disegani. Tidak menjangka juga mereka akan DM. Malah, di Twitter juga ‘trending’. Jadi, diakui perkara ini memberikan impak populariti dalam diri.

“Tapi, kalau boleh saya tidak mahu dikenali daripada perkara negatif. Biar saya dikenali sebagai penyanyi yang baik. Apa pun, saya berasakan ada hikmah di sebalik kejadian ini. Sebab dari situ, ramai mula menyedari kehadiran saya.

“Saya bersyukur juga kerana apa yang berlaku dapat mematangkan diri dan buat semua rakan dalam Big Stage. Diharap ia menjadi contoh dan pengajaran kepada orang lain,” katanya.

Hafiz yang pernah muncul dengan lagu Terasing pada September tahun lalu, mengakui jumlah pengikut di laman sosial bertambah dan jumlah tontonan beberapa video nyanyian di YouTube turut meningkat.

“Pengikut di Instagram meningkat 10,000 sejak terbabit dalam program ini. Apa yang saya perasan juga, peminat mula mencari semula lagu saya sebelum ini di YouTube. Jumlah tontonan secara tiba-tiba naik selepas minggu pertama. Terima kasih kepada semua yang sudi dan terus menyokong saya,” katanya.

CUBA baiki kelemahan supaya ia tidak berulang.
CUBA baiki kelemahan supaya ia tidak berulang.

Dapat sokongan padu Akim & Stacy

Ditanya mengenai komen Akim dan Stacy selaku majikannya di syarikat Rhythm & Rhyme Entertainment, Hafiz berkata, pasangan suami isteri itu tidak lekang memberikan kata-kata semangat.

“Mereka memberikan kata-kata semangat supaya saya tidak ‘down’. Dari awal lagi, mereka sudah cakap memasuki pertandingan mental perlu kuat. Jadi, apa saja berlaku mental kena nombor satu sebab ia kawal semua.

“Tidak cukup dengan itu, mereka juga bersama-sama mengkaji semula apa kesalahan yang saya buat pada minggu pertama dan cuba baiki kelemahan itu supaya ia tidak berulang lagi,” katanya.

Mengenai kerjaya profesionalnya, Hafiz yang bertugas di klinik swasta berkata, dia mengambil cuti bagi memberi fokus kepada pertandingan itu.

“Buat masa sekarang, saya ambil cuti sebab untuk beri fokus pada Big Stage,” katanya.

Perkembangan lain, Hafiz merancang menghasilkan lagu baharu selepas tamat program itu.

“Lagu baharu dilancarkan pada September tahun lalu, dan Insya-Allah, kalau ada rezeki selepas ini saya nak hasilkan lebih beberapa lagi lagu baharu. Doakan semoga ia berjalan lancar,” katanya.

Selepas berada di kedudukan tiga terbawah pada minggu pertama, Hafiz berjaya membaiki kedudukan dalam senarai Top 10, sekali gus melayakkan dirinya beraksi pada minggu ketiga, Ahad ini.

“Untuk minggu ini, saya cuba berikan yang terbaik lagi. Cuma, saya berasakan masalah sekarang adalah ‘ear monitor’. Mungkin belum biasa dan sedang mencari keselesaan. Tapi, ini cabaran buat saya.

“Dalam masa sama, ramai tenaga pengajar memberikan dorongan bukan hanya pada saya seorang, tapi rakan lain juga. Tidak terkecuali, produksi juga memberikan kata-kata semangat untuk memberikan yang terbaik. Tidak ketinggalan, pasukan saya, keluarga dan peminat,” katanya.