Ramai ikut SOP

BIARPUN kerajaan memberikan kelonggaran untuk perniagaan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), masyarakat dilihat kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, semalam.

Lebih sebulan tdak beroperasi tidak menjadi alasan kepada peniaga untuk melanggar syarat ditetapkan dengan mengambil langkah pencegahan seperti dipinta pihak berwajib.

Tinjauan Harian Metro mendapati rata-rata kedai mula melakukan pembersihan serta menyusun atur barang jualan di premis mereka tanpa membuka sepenuhnya pintu premis.

Di restoran, pelanggan dilihat berdiri mengikut garisan yang disediakan pengusaha restoran walaupun terpaksa beratur panjang untuk menunggu giliran.

Di pusat beli-belah pula, kebanyakan kedai didapati masih ditutup namun beberapa pekerja kelihatan sibuk melakukan kerja berkaitan sebagai persediaan untuk beroperasi semula.

Di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu kota, Harian Metro difahamkan hampir separuh daripada penyewa lot kedai memutuskan untuk tidak memulakan operasi perniagaan, semalam.

Jumlah pengunjung juga dilihat masih terkawal dengan majoritinya menuju ke arah premis makanan atau premis yang menjual barangan keperluan asas khususnya barang dapur.

MASIH ada premis yang tidak beroperasi selepas kerajaan memberi kebenaran untuk memulakan aktiviti perniagaan ketika tinjauan hari pertama PKPB di Suria KLCC, Kuala Lumpur, semalam. FOTO Aizuddin Saad
MASIH ada premis yang tidak beroperasi selepas kerajaan memberi kebenaran untuk memulakan aktiviti perniagaan ketika tinjauan hari pertama PKPB di Suria KLCC, Kuala Lumpur, semalam. FOTO Aizuddin Saad

Penjawat awam, Muhammad Firdaus Abbas, 32, berkata, dia memutuskan untuk keluar membeli keperluan dapur semalam selepas dua minggu tidak keluar rumah.

Memandangkan dia hanya akan kembali bertugas esok, kesempatan itu diambilnya untuk keluar mendapatkan barangan keperluan yang sudah habis sejak seminggu lalu.

“Ketika peringkat awal PKP dilaksanakan, rajin juga saya ke kedai untuk tambah barang dapur yang habis, namun apabila kes (jangkitan Covid-19) makin meningkat, saya sekadar makan apa yang ada atau beli melalui dalam talian saja.

“Saya banyak melakukan kerja dari rumah namun saya memohon cuti pada hari ini (semalam) dan esok (hari ini) untuk uruskan apa yang patut sebelum kembali ke pejabat.

“Lega juga banyak kedai yang sudah dibuka. Saya memang tunggu kedai buka sekiranya perlu ke pejabat semula disebabkan kasut kerja saya sudah rosak,” katanya.

PELANGGAN berbuka puasa di sebuah restoran di ibu kota. FOTO Asyraf Hamzah
PELANGGAN berbuka puasa di sebuah restoran di ibu kota. FOTO Asyraf Hamzah

Bagi Nurul Ishiqah Ab Rahim, 29, dia memutuskan untuk keluar mendapatkan barangan keperluan rumah semalam kerana barang dapur di rumahnya sudah habis.

“Kalau PKPB tidak dilaksanakan sekalipun, saya memang sudah bercadang untuk keluar bagi mendapatkan bekalan makanan untuk kami sekeluarga.

“Saya masih risau untuk keluar begini kerana kita pun tahu kes meningkat semula, tetapi apa yang boleh kita lakukan hanyalah dengan menjaga jarak sosial serta pakai penutup mulut dan hidung,” katanya.

Suasana berbeza juga dapat dilihat di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang sebelum ini penuh sesak dengan orang ramai membeli keperluan Aidilfitri apabila sebahagian besar kedai belum dibuka, semalam.

Pengunjung juga tidak kelihatan dipercayai kerana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan berhampiran yang baru saja ditamatkan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan