Rang Undang-Undang (Langkah-Langkah Sementara) COVID-19 Singapura akan lindungi PKS

Rang Undang-undang yang dicadangkan itu hanya meliputi pinjaman PKS dengan cagaran khusus terletak di Singapura. – Gambar fail

SINGAPURA: Rang Undang-Undang COVID-19 (Langkah -Langkah Sementara) akan memberi perlindungan sementara yang diperlukan bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang telah dinilai secara berhati-hati untuk mengelak daripada menjejaskan kepentingan bank-bank dan peranan Singapura dalam urus niaga kewangan antarabangsa.

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) berkata Rang Undang-undang yang dicadangkan itu hanya meliputi pinjaman PKS dengan cagaran khusus terletak di Singapura, iaitu hartanah komersil atau perindustrian di Singapura, atau loji, jentera atau aset tetap di Singapura yang digunakan untuk tujuan perniagaan.

Sebagai sebahagian daripada pakej langkah-langkah bantuan yang diumumkan oleh MAS pada 31 Mac, 2020, bank-bank telahpun menangguhkan bayaran prinsipal terhadap pinjaman bercagar kepada PKS sehingga akhir tahun ini, tertakluk kepada penilaian kualiti cagaran tersebut.

MAS berkata ini sebagai tindakbalas kepada pertanyaan media tentang implikasi Rang Undang-Undang COVID-19 (Langkah-Langkah Sementara) mengenai sektor kewangan.

Pada 1 April, Kementerian Undang-undang republik itu mengumumkan bahawa ia berhasrat memperkenalkan Rang Undang-undang itu di Parlimen minggu depan.

— BERNAMA