Rasai kekayaan dengan al-Quran

MAHU berkongsi ilmu kalam Allah kepada masyarakat selain mengumpul saham akhirat.

Itu niat murni Puteri Mas Mat Yaakub, 33, yang menawarkan kelas pengajian asas al-Quran secara percuma kepada mereka yang ingin mendalami dan memperbaiki bacaan mereka.

Berbekalkan pengalaman sebagai tenaga pengajar di sebuah sekolah rendah Islam dan pusat pengajian al-Quran swasta di Ipoh, Perak sejak 2005, Puteri Mas mula menganjurkan kelas itu secara atas talian dalam grup Facebook (FB) sejak 19 April lalu.

“Kelas ini saya namakan Positive Circle WanitaKaya kerana simbolik falsafah saya mahu menanamkan dalam diri pelajar saya supaya kejar agama dulu berbanding harta duniawi.

“Ramai orang fikir hendak kaya kena kerja, sebenarnya kalau kita yakin dengan al-Quran kita akan dapat rasa kekayaan walaupun tidak berharta ini berdasarkan pengalaman saya sendiri,” katanya kepada Harian Metro.

Sehingga kini katanya, kelas khusus untuk golongan wanita itu berjaya menarik penyertaan lebih 1,200 orang pelbagai peringkat usia dari seluruh negara.

“Apabila berlaku Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak benda boleh muhasabah, saya tengok keperluan masyarakat mengisi masa lapang.

“Masing-masing mahu kembali kepada al-Quran, sebelum ini tidak ramai berminat mungkin kerana sibuk.

“Jadi, saya anjurkan kelas ini secara percuma sebagai salah satu sumbangan dan amal jariah saya selepas melihat sambutan hendak belajar al-Quran tinggi,” katanya yang berkelulusan Sijil Pengajian Islam (al-Quran) Universiti Malaya.

Puteri Mas yang menetap di Kubang Kerian, Kelantan berkata, kelas diadakan tiga minggu sekali bermula 10 pagi hingga 12 tengah hari.

“Pendekatan saya cuba bawa sedaya-upaya daripada asas kerana saya dapati ada beberapa mualaf dan orang bukan Islam turut berminat mengikuti kelas ini.

“Pertamanya sebelum kenal tajwid saya ajar mahraj kenal huruf hijaiyah untuk membetulkan sebutan.

“Contohnya, selalu kita sebut Alif Ba sepatutnya apabila tiada baris sebutan dia kena ikut ejaan iaitu Baa’ atau Taa’.

“Saya juga ajar pelajar saya memahami makna dalam ayat al-Quran dengan mengamalkannya dalam rutin harian contohnya surah Al-Fatihah berkisar dekat dengan kehidupan kita,” katanya.

Dia berkata, latihan turut disediakan bagi menilai sejauh mana pemahaman pelajarnya.

“Jika berminat, saya juga menawarkan memeriksa bacaan seorang demi seorang menerusi mesej suara WhatsApp jika salah saya perbetulkan terus.

“InsyaAllah, saya akan teruskan usaha ini sampai bila-bila selagi mana saya terdaya kerana bagi saya ilmu al-Quran ini perlu berterusan dan sentiasa diamalkan,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Nur Raihan Mohd Kamal,33, yang tiga kali menyertai kelas berkenaan sejak sebelum Ramadan turut menggalakkan dua anaknya menyertai kelas itu.

“Saya mengetahui kelas ini daripada FB memang kebetulan saya mencari guru untuk memperbaiki bacaan saya sambil mengisi masa lapang.

“Kaedah digunakan Ustazah Puteri Mas juga berlainan ajar sebutan asas daripada huruf serta mengaitkan kehidupan kita dengan surah Al-Fatihah supaya kita lebih memahami maksudnya.

“Alhamdulillah setakat ini, ada kemajuan dan dua anak saya berusia empat dan tujuh tahun turut berminat menyertai kelas itu sampai anak sulung pun membuat salinan nota,” katanya.