Rebus batu tipu anak lapar

NAIROBI: Kesempitan hidup membuatkan seorang ibu tunggal di Kenya berpura-pura memasak batu untuk meyakinkan lapan anaknya bahawa dia sedang menyiapkan makanan.

Peninah Bahati Kitsao yang menetap di Mombasa berkata, dia berharap anaknya tertidur ketika menunggu makanan masak.

Ia selepas wanita itu tiada wang membeli makanan susulan kehilangan sumber rezeki akibat Covid-19,

Portal BBC News melaporkan sebelum pandemik melanda, wanita berkenaan bekerja sebagai tukang cuci pakaian.

Mereka sembilan beranak tinggal dalam rumah sempit dengan dua bilik, tanpa bekalan air dan elektrik.

Wanita itu berkata, lama-kelamaan anaknya yang kelaparan mengetahui lakonannya.

“Mereka beritahu mereka tahu saya menipu, tapi saya tak dapat buat apa-apa,” katanya.

Kedaifan hidup keluarga itu terbongkar selepas jiran mereka, Prisca Momanyi menjenguk apabila kerap terdengar anaknya menangis.

Prisca terperanjat sebaik mengetahui jirannya kelaparan dan meminta bantuan media tempatan, Kenya NTV untuk melaporkan berita mengenai wanita itu.

Sejak itu, dia menerima pelbagai sumbangan daripada orang ramai termasuk wang belanja dan kini memiliki telefon bimbit.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19