Remaja perempuan 16 tahun selamba hisap dadah di bilik ibu

REMAJA perempuan berumur 16 tahun antara 40 penagih dadah yang ditahan dalam Ops Perdana Klang Siri 2 di sekitar Klang Selatan dan Klang Utara, semalam.

Dia yang menagih sejak setahun lalu ditahan di rumah ibunya di Taman Sentosa bersama teman lelaki dan dua abangnya yang turut terbabit dalam penagihan itu.

Ketua Operasi Ezwan Shahrin Saibani berkata, ketika ditahan remaja perempuan dan teman lelakinya itu baru melepaskan gian menghisap syabu di bilik ibunya.

“Ketika ditahan, remaja perempuan itu berada di bilik ibunya bersama teman lelaki manakala abangnya bersama rakan di ruang tamu.

“Remaja terbabit hanya bersekolah sehingga tingkatan tiga dan dipercayai teman lelaki kerap melepak di rumah mereka.

“Ketika tangkapan dibuat juga, ibunya yang juga seorang ibu tunggal tiada di rumah kerana keluar bekerja,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Operasi oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Klang itu dibantu AADK Daerah Petaling, AADK Daerah Hulu Selangor dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dengan 30 kekuatan pegawai dan anggota.

Ezwan Shahrin berkata, dalam operasi sama, ada penagih cuba melarikan diri ketika serbuan dibuat di Taman Pendamar Indah 2.

“Terkejut apabila ditegur oleh anggota, seorang dari lapan lelaki di situ terus panjat balkoni untuk terjun ke tingkat satu bagaimanapun tiada kecederaan.

“Empat rakannya cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan pegawai operasi manakala tiga lagi terus serah diri ketika serbuan,” katanya.

Beliau berkata, operasi yang bermula 9 pagi sehingga 10 malam itu membabitkan kawasan Kapar, Sungai Udang, Kampung Delek, Taman Pendamar Indah serta Taman Sentosa.

“Tangkapan membabitkan 38 lelaki dan dua wanita warga tempatan berumur antara 16 tahun hingga 63 tahun.

“Ujian saringan mendapati semua yang ditahan positif dadah jenis syabu, ganja dan heroin.

“Tangkapan dibuat susulan risikan dan aduan yang diterima melalui aduan awam, Hotline AADK 03-89112233 dan Whatsapp 019-6262233,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah 1983 dan mereka direman selama 14 hari bermula hari ini.