Reman pendakwah selebriti dilanjutkan [METROTV]

Shah Alam: Reman pendakwah selebriti yang ditahan berhubung dakwaan merogol seorang gadis dilanjutkan lima hari lagi hingga Ahad.

Perintah lanjutan reman yang bermula esok itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Ahmad Feisal Mohd Azmi, hari ini.

Terdahulu suspek berusia 25 tahun yang berbaju Melayu hijau tiba di mahkamah kira-kira 11 pagi dengan ditemani peguam.

Siasatan terhadap pendakwah selebriti itu dibuat mengikut Seksyen 376 ( rogol), 354 (cabul), 377 (seks luar tabii) dan 323 (mencederakan) Kanun Keseksaan.

Sementara itu, peguam Ahmad Amzar Ahmad Azlan yang mewakili suspek berkata, pihaknya akan mengambil tindakan berlandaskan lunas undang-undang bagi membuktikan anak guamnya tidak bersalah.

“Anak guam sedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa selain menafikan sebarang pertuduhan dan dakwaan yang dibuat oleh wanita berkenaan.

“Dia akan cuba membersihkan namanya mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

PENDAKWAH selebriti diiringi polis ketika dibawa ke  Mahkamah Shah Alam, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim.
PENDAKWAH selebriti diiringi polis ketika dibawa ke Mahkamah Shah Alam, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim.

Sebelum ini, media melaporkan, polis menerima enam laporan ke atas pendakwah selebriti itu iaitu lima di daerah Shah Alam dan satu di daerah Petaling

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata, tempoh reman suspek akan tamat esok namun disebabkan beberapa laporan polis yang baru diterima maka, perintah lanjutan reman akan dipohon bagi membantu siasatan.

Suspek ditahan kira-kira 11 malam, 26 November lalu selepas tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Difahamkan suspek pernah menyertai sebuah rancangan realiti keagamaan pada 2016 sebelum popular sebagai penyanyi dan pelakon.

Berita berkaitan

• 6 laporan polis terhadap pendakwah selebriti

• Guru pula tampil dakwa dirogol pendakwah selebriti

• Pendakwah selebriti ditahan lagi, dakwaan cabul penuntut kolej

• Pendakwah selebriti ditahan polis