Rendam dulu baru simpan

LONDON: Gara-gara takut dijangkiti wabak Covid-19, seorang wanita mencuci barangan makanan yang dibelinya sebelum menyimpan dalam peti sejuk dan almari.

Lapor portal Mirror, teknik digunakan wanita itu tidak digalakkan kerana merendam semua barangan berkenaan dalam tab mandi dengan air panas.

Perkara itu dikongsikan pengguna Twitter, Evie Lancaster yang berkongsi pengalaman lucu ibunya itu sebagai langkah pencegahan.

Dalam hantaran berkenaan, Evie menunjukkan foto yogurt Greek, tomato, keju, brokoli, kubis bunga dan pelbagai lagi barangan lain direndam dalam air panas.

“Apa langkah berjaga-jaga yang kamu ambil sepanjang pandemik global ini?

“Ibu saya memandikan barangan Tesconya,” ciapnya dalam keterangan bersama muat naik foto berkenaan.

Perkongsian Evie itu mendapat tanda suka lebih 94,000 dan diulang ciap lebih 24,000 serta meraih 1,600 komen.

Ia bukan saja meninggalkan komen lucu, namun segelintir pengikut wanita itu turut berkongsi perkara sama yang berlaku dalam keluarga mereka.

MichelleHealy_1 juga berkongsi sekeping foto menunjukkan ibunya menggosok wang menggunakan seterika berwap.