Republik Czech mulakan operasi pasar terbuka selepas sebulan perintah berkurung

Selepas sebulan perintah berkurung dikuatkuasakan, Republik Czech mula membenarkan operasi pasar terbukanya kepada orang awam.

PRAGUE: Selepas sebulan perintah berkurung dikuatkuasakan, Republik Czech mula membenarkan operasi pasar terbuka kepada orang awam.

Tindakan itu menyusul selepas pengumuman kerajaan negara itu minggu lalu untuk membenarkan operasi premis perniagaan dan perkhidmatan tertentu secara berperingkat.

Selain operasi pasar terbuka, pihak berkuasa turut membenarkan kumpulan atlet tertentu memulakan latihan dengan mengikut garis panduan ditetapkan.

Garis panduan berkenaan termasuk memastikan penjarakan sosial, pemakaian penutup hidung dan muka terutama dalam kalangan pengunjung dan peniaga di pasar terbuka.

Republik Czech sebelum ini memutuskan untuk meneruskan langkah melonggarkan perintah berkurung jika wabak COVID-19 di negara itu berjaya dikawal dari semasa ke semasa.

Setakat ini, negara itu telah merekodkan 6,787 kes positif COVID-19 dengan 188 kes kematian.